KOTA KINABALU: Kehadiran bekas jurulatih pasukan kebangsaan Mongolia, Rastislav Bozik (Rasto),44,dalam skuad Badak bakal memberi kelebihan kepada Sabah FC bagi menghadapi saingan Liga Super 2022.
Rasto yang berasal dari Slovakia itu memulakan tugas rasminya selaku jurulatih kecergasan Sabah FC bermula 1 Januari 2022.
Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, mereka berdua sebelum ini sudah pernah bekerjasama selama 10 tahun ketika bertugas bersama-sama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Institut Sukan Negara (ISN).
“Ini akan memberi satu kelebihan kepada Sabah FC kerana Rasto mempunyai banyak pengalaman dalam bidang kecergasan sekaligus dapat berkongsi kepakarannya bersama-sama Sabah FC nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sesi latihan yang diadakan di Stadium Likas petang tadi.
Sementara itu, Stuart Wilkin yang dipinjamkan dari Johor Darul Ta’zim (JDT) juga telah mula menjalani latihan bersama-sama pasukan Sabah FC petang tadi.
“Kehadirannya akan menambahbaik kekuatan bahagian jentera tengah bersama-sama Baddrol dan Irfan serta pemain import dari Korea, Park Taesu yang turut diikat semula untuk musim yang keempat.
“Ini akan memberikan satu lagi saingan yang sihat kepada pasukan Sabah FC,” katanya.
Dalam pada itu, Kim Swee berkata, latihan yang dilaksanakan petang tadi merupakan minggu kedua pasukannya mengadakan latihan.
“Pemain lain termasuk Baddrol, Rizal, Dominic serta Khairul Fahmi hanya akan bersama-sama kita pada minggu hadapan.
“Pemain-pemain import hanya akan hadir kemungkinan pada pertengahan atau penghujung Januari nanti.
“Kita perlu meneliti kualiti para pemain import ini sebelum memutuskan siapa yang akan kita pilih,” katanya.