Perancangan Yang Betul Penting Untuk Atasi Banjir Kerana Keadaan Cuaca Tidak Menentu – Maximus

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 47 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA MARUDU: Perancangan yang betul adalah penting untuk mengatasi banjir oleh kerana keadaan cuaca tidak menentu pada ketika ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, keadaan cuaca sangat tidak menentu sekarang menyukarkan sebarang perancangan tebatan banjir malah tidak boleh hanya bergantung kepada data lepas kerana jumlahnya mungkin telah berubah selain statistik juga turut berbeza setiap masa seperti jumlah mangsa banjir dan bantuan yang diperlukan serta kerugian yang dihadapi.

Maximus yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu menjelaskan bahawa adalah baik membuat perancangan yang betul seperti anggaran perbelanjaan yang berkemungkinan disebabkan kerosakan infrastruktur asas, serta tindakan susulan untuk membersihkan jalan, saliran dan bekalan air serta elektrik.

Bagaimanapun katanya, ia adalah usaha bersepadu semua, daripada pejabat daerah sehinggalah kepada semua agensi berkaitan.

“Kita mesti berkongsi tarikh dan maklumat, terutama yang memberi kesan kepada rakyat, supaya perancangan bandar yang baik dan bantuan sewajarnya dapat dihulurkan kepada golongan terjejas dengan segera.

“Kita tidak boleh berlengah-lengah dalam menangani kehidupan seseorang. Kita mesti pastikan mereka yang ditempatkan sementara di pusat pemindahan mempunyai keperluan asas,” katanya.

Setakat hari ini, Kota Marudu merupakan antara daerah dengan jumlah mangsa banjir tertinggi, dengan 2,682 orang daripada 1,015 keluarga ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS).

“Kita memerlukan lebih banyak khemah bantuan bencana, lebih daripada sebelum ini. Bayangkan, salah satu pusat pemindahan di sini menempatkan 42 keluarga,” katanya selepas melawat PPS di Sekolah Kebangsaan Ranau, di sini, semalam.

Justeru, beliau menambah, kerajaan negeri Sabah mampu menghadapi ancaman seperti banjir yang melanda negeri ini, hasil hubungan antara agensi yang erat termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta agensi-agensi keselamatan lain.

“Selain perancangan dalam tebatan banjir, bahawa sumber kewangan yang mencukupi juga penting, terutamanya daripada Kerajaan Persekutuan.

“Prinsip mencegah lebih baik daripada mengubati juga terpakai dalam kawalan tebatan banjir,” tegasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa adalah lebih baik untuk membelanjakan kos pembinaan infrastruktur sekarang daripada menangguhkannya kerana kos perbelanjaan akan lebih mahal sekiranya berlaku bencana akibat perubahan iklim dan cuaca yang tidak menentu.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *