Hantar Laporan Kerosakan Akibat Banjir – Mohamad

Read Time:1 Minute, 13 Second

PITAS: Semua sekolah yang terjejas akibat banjir di beberapa buah daerah di negeri ini diminta untuk mengenalpasti setiap kerosakan yang dialami sebelum sesi persekolahan dibuka 10 Januari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Mohamad Alamin berkata, pihak sekolah bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) terlibat perlu menghantar laporan kerosakan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk tindakan lanjut.

“Pada hari ini, saya mengadakan lawatan kerja ke Kota Marudu dan Pitas manakala semalam saya berada di Telupid bagi melihat sejauh mana kesiapsiagaan sekolah sama ada mereka sudah sedia untuk sesi persekolahan 10 Januari ini.

“Walau bagaimanapun, saya dimaklumkan masih ada beberapa buah sekolah digenangi air di daerah Telupid manakala di Kota Marudu semuanya sudah surut namun di Pitas masih terdapat sekolah yang digenangi air serta tidak dapat dilalui kenderaan kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Pitas II disini hari ini.

Mohamad berkata, semua Guru Besar dan Pengetua sekolah perlu segera menghantar laporan berkaitan kerosakan akibat banjir termasuk kesiapsiagaan sekolah untuk dibuka pada Isnin ini.

Sekiranya keadaan cuaca masih berterusan dan sekolah-sekolah digenangi air, Mohamad berkata, pihak kementerian telah menyediakan Prosedur Standard Operasi (SOP) bagi menghadapi bencana banjir.

Katanya, semua pentadbir telah dimaklumkan lebih awal berhubung langkah keselamatan bagi menghadapi banjir.

“Sudah tentu, mereka harus patuhi semua garis panduan yang ditetapkan kementerian, supaya nanti pihak kementerian akan dapat membantu melihat perkara mana yang boleh dibantu dan memastikan sesi persekolahan berjalan lancar,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.