HomeUtamaBUTM Bakal Tarik 800 Penggemar Maraton Ke Kiulu

BUTM Bakal Tarik 800 Penggemar Maraton Ke Kiulu

Read Time:1 Minute, 59 Second

KOTA KINABALU: Borneo Ultra Trail Marathon (BUTM) dijangka menarik seramai 800 peserta dalam acara sukan larian denai yang akan diadakan di Kiulu pada bulan Mac, tahun ini.

Acara ekstrem tersebut akan menyaksikan pelari marathon menguji ketahanan dan stamina apabila mereka berlumba di denai, melepasi beberapa beberapa buah kampung.

Acara itu turut disokong oleh Lembaga Pelancongan Sabah dan dijadualkan berlangsung dari 19 hingga 20 Mac.

Pengarah perlumbaan BUTM, Claus Pedersen, berkata seramai 400 orang telah mendaftar untuk maraton setakat ini, dengan 25 daripadanya adalah warga asing.

“Cabaran larian Ultra Trail terakhir diadakan pada tahun 2020, sejurus sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan. Pada masa itu, terdapat 1,600 peserta tempatan dan antarabangsa.

“Kali ini, kami menghadkan acara larian maraton kepada 200 peserta setiap kategori disebabkan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19,” katanya, sambil menambah terdapat empat kategori dipertandingkan dalam acara BUTM iaitu 100KM, 50KM, 30KM dan 9KM.

Pedersen berkata peserta antarabangsa yang telah mendaftarkan diri dipercayai golongan ekspatriat yang menetap di Malaysia dan mereka adalah dari negara Australia, Jerman, Jepun, Afrika Selatan, Rusia, Romania, Filipina, Indonesia dan Singapura.

Katanya, Kiulu kekal sebagai lokasi pilihan BUTM kerana reputasinya sebagai destinasi eko-pengembaraan dan jaraknya yang dekat dengan bandaraya Kota Kinabalu.

Baru-baru ini, jawatankuasa BUTM yang diketuai oleh Pedersen bertemu dengan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Joniston Bangkuai, untuk memberi taklimat mengenai acara sukan yang akan datang itu.

Pedersen memberi jaminan bahawa SOP yang ketat akan dilaksanakan, dan semua peserta dikehendaki menjalani ujian calitan Covid-19 untuk mencegah jangkitan.

Sementari itu, Joniston, yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, berkata BUTM bukan sekadar acara sukan tetapi juga menjadi tarikan utama pelancongan.

“Ini sangat menarik untuk Sabah dan Kiulu khususnya kerana acara BUTM membolehkan peserta menerokai destinasi luar bandar sambil menyertai aktiviti sukan luar dan menikmati udara segar serta pemandangan sungai dan alam semula jadi.

“Kiulu terkenal dengan konsep pelancongan berasaskan komuniti. Komuniti boleh menggunakan peluang ini untuk mempromosikan kampung, inap desa dan budaya mereka agar peserta tinggal lebih lama dan dapat menikmati destinasi luar bandar di negeri ini.

“Selain menggalakkan rakyat Malaysia melawat Sabah, kita juga melihat golongan ekspatriat sebagai bakal pelancong ketika sempadan antarabangsa masih ditutup. Oleh itu, kita mesti terus mempromosikan apa-apa acara yang berpotensi menarik minat kumpulan ekspatriat untuk datang ke Sabah,” katanya.

Pendaftaran BUTM 2022 dibuka sehingga Februari, dan prosedur pendaftaran boleh didapati di https://www.borneoultra.com/butm/registration.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular