KPLB Jadikan Premis & Tabika KEMAS Pusat Sehenti Semakan Kelayakan Bantuan Pembaikan Rumah Pasca Banjir

Read Time:1 Minute, 43 Second

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menjadikan premis dan Tabika KEMAS sebagai Pusat Sehenti semakan kelayakan bantuan pembaikan rumah pasca banjir.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bancian jumlah rumah yang perlu dibaiki dan dibina semula sedang dilakukan dan kerja-kerja pembinaan akan dilaksanakan sebaik data bancian lengkap.

“KPLB memutuskan untuk menjadikan premis dan Tabika KEMAS di lokasi banjir sebagai pusat sehenti mulai Selasa depan untuk memudahkan semakan dan pendaftaran kelayakan.

‘Sebagai permulaan KPLB akan berada di Tabika KEMAS Bukit Changgang, Banting Selangor selama tiga hari bermula Selasa ini untuk mengemas kini dan menyemak data pemohon yang layak untuk bantuan pembaikan rumah pasca banjir.”

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan kepada media di sini hari ini.

Menurut Mahdzir, semua permohonan Ketua Isi rumah (KIR) untuk pembaikan rumah perlu dibuat melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana, PKOB Daerah dan Pejabat Daerah sebelum disah dan didaftarkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, ICU, Jabatan Perdana Menteri.

KPLB juga menggerakkan semua Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi membantu mengumpul data penduduk yang terkesan dengan bencana banjir untuk diserahkan kepada PKOB daerah.

“Tempoh pembaikan semula bergantung kepada tahap kerosakan dan akan dilaksanakan oleh Agensi Pelaksana, manakala bagi pembinaan semula rumah tempoh masa yang diambil adalah antara tiga hingga empat bulan bergantung kepada kesediaan tapak”.

Tambah beliau, di bawah Program Bantuan Rumah KPLB, peruntukan sebanyak RM15 ribu disediakan untuk baik pulih rumah dan RM56 ribu untuk bina baharu rumah di Semenanjung Malaysia.

Manakala RM68 ribu bagi wilayah Sabah dan Sarawak untuk bina baharu rumah.

“Untuk program pembaikan rumah mangsa banjir, saya dimaklumkan bahawa hari ini KPLB telah memulakan penilaian kerosakan, dijangka kerja-kerja pembaikan akan bermula esok membabitkan sembilan buah rumah mangsa banjir di Kuala Klawang dan Chennah, Jelebu, Negeri Sembilan”.

Pada masa sama, KPLB juga kata Mahdzir, menjemput Kementerian dan agensi lain yang terlibat dengan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia bagi memudahkan proses menyalurkan bantuan pasca banjir di Pusat Sehenti premis dan Tabika Kemas yang disediakan KPLB.

Lokasi dan tarikh akan dimaklumkan melalui laman web rasmi KPLB, media sosial rasmi dan Bilik Gerakan Bencana KPLB di talian 03-88915827.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *