Tiada Keperluan Tubuh Badan Bebas – Ismail Sabri

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 39 Second

KOTA MARUDU : Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tiada keperluan untuk menubuhkan sebuah badan bebas bagi menyiasat kes berkaitan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Malah Ismail Sabri berkata, beliau juga tidak akan campur tangan dalam kes tersebut kerana SPRM mempunyai tatacara tersendiri bagi mengendalikan kes berkenaan menerusi siasatan dalam iaitu Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR).

Katanya, sistem sedia ada juga sudah cukup untuk menjalankan siasatan terhadap kes berkenaan dan membiarkan siasatan dilakukan terlebih dahulu.

“Suruhanjaya Sekuriti (SC) juga sedang melakukan siasatan, kita tunggu keputusan yang dibuat SC dan kalau ada siasatan lain oleh Polis dan sebagai, kita tunggu sehingga siasatan selesai.

“Kita juga tidak boleh membuat andaian sendiri seolah-olah meletakkan Azam Baki itu telah didapati bersalah, itu tidak wajar kerana setiap orang berhak membela diri masing-masing sewaktu siasatan dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa banjir di Kota Marudu disini hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian bagi mengulas gesaan Pakatan Harapan (PH) yang meminta supaya satu badan khas bebas menyiasat kes berkaitan pemilikan saham dalam syarikat Bursa Malaysia oleh Azam.

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Ismail Sabri turut menepiskan dakwaan kononnya kerajaan berdiam diri dan tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap kes berkenaan selain menyatakan tindakan telah dilakukan.

Katanya, SPRM yang ditubuhkan bagi menggantikan Badan Pencegahan Rasuah (BPR) diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“SPRM dulu asalnya adalaha BPR yang diletakkan dibawah JPM, tapi ramai tidak setuju kerana tidak mahu kerajaan terutama Perdana Menteri campur tangan.

“Dan sekarang mereka pula mahu saya campur tangan, jadi kita kena konsisten dengan apa yang kita lakukan,” katanya.

Ismail Sabri turut memberi jaminan bahawa beliau tidak akan berkompromi jika ada isu yang berkaitan salah laku sesiapa sahaja.

Katanya, pada ketika ini tiada keperluan untuk Azam Baki direhatkan keranan siasatan belum membuktikan dia bersalah.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *