700 Murid Terima Bantuan Beg, Peralatan Sekolah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 11 Second

TUARAN : Seramai 700 murid melibatkan 33 buah sekolah di daerah ini termasuk daerah kecil Tamparuli menerima bantuan beg dan peralatan sekolah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bantuan yang disalurkan Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) itu diberikan kepada golongan keluarga yang kurang berkemampuan.

“Pada hari ini kita menyampaikan bantuan beg dan peralatan sekolah kepada murid-murid dari keluarga kurang berkesan di daerah Tuaran dan juga daerah kecil Tamparuli.

“Jadi saya berharap dengan bantuan beg dan peralatan sekolah ini akan dapat meringankan bebanan ibu bapa murid yang menerima bantuan pada hari ini,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan penyerahan bantuan Program ‘Back To School’ di Dewan Pusat Kebudayaan Persatuan Rumpun Bajau Samah Sabah disini hari ini.

Hadir sama Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, pemberian sumbangan bantuan itu diberikan berdasarkan senarai daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tuaran.

“Inilah yang kita lakukan sebagai sebuah kerajaan Prihatin. Esok sesi persekolahan akan bermula dan sudah tentu pendidikan menjadi keutamaan bukan sahaja kepada ibu bapa malah juga kepada kerajaan negeri.

“Kerajaan pada hari ini, kita turut memasukkan modal insan sebagai teras utama dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.

Terdahulu, Hajiji menyerahkan sumbangan bantuan kepada 13 buah sekolah pada hari ini manakala selebihnya akan diagihkan kepada penerima melalui pihak sekolah.

Program itu dilaksanakan YKS dengan kerjasama Jabatan Ketua Menteri (JKM) dan PPD Tuaran.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *