KOTA KINABALU: Kejayaan Kelab Sukan Gusti Lengan Kota Kinabalu (Arm Wrestling Sport Club KK) dalam kejohanan kebangsaan di Kuala Lumpur baru-baru ini mendapat pujian pemimpin negeri.
Beberapa atlet dari kelab tersebut menerima pujian Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim.
“Syabas kerana mereka telah berjaya menjadi juara sekaligus mengangkat nama Sabah,” katanya.
Menurutnya, kelab tersebut wajar diberi pujian walaupun namanya mungkin tidak segah atau sebesar nama kelab lain yang terdapat di Malaysia, tetapi mampu untuk mengeluarkan atlet hebat bertaraf antarabangsa.
“Mereka boleh menjadi contoh atau ‘role model’, kerana secara diam-diam rupanya telah mengeluarkan seorang juara dunia yang telah mewakili Malaysia, dan khususnya mewakili Sabah.
“Mereka berjaya kerana ada kesungguhan dan disiplin, berbanding segelintir persatuan yang mempunyai nama besar tetapi tidak pernah melakar kejayaan,” katanya.
Jahid turut menghargai kesungguhan yang ditunjukkan oleh kelab tersebut, dan gembira atas kejayaan mereka membantu pasukan Sabah menjadi Pasukan Terbaik Kejohanan, di samping berharap kejayaan berterusan akan terus dicapai mereka.
Joffey Jolly, 29 tahun yang sebelum ini berjaya menjuarai kejohanan International Federation Of Arm Wrestling (IFA) World Championship, di Poland, sekali lagi mencipta kemenangan bagi Kategori Senior 78kg Right Hand dan Left Hand.
Manakala ayahnya yang juga Presiden Kelab Sukan Gusti Lengan Kota Kinabalu (Arm Wrestling Sport Club KK), Jolly Johnson, mengungguli kategori Kategori Master +86kg Right Hand.
Dalam pada itu, Jolly, menghargai sumbangan peribadi Jahid kepada mereka bagi menampung keperluan Joffey sepanjang berada di Poland, baru-baru ini.
“Kunjungan ini adalah sebagai tanda terima kasih kami kepada beliau (Jahid) atas kesudian membantu kami menghantar wakil kelab ini ke Kuala Lumpur, syukurlah kita telah mencapai kejayaan yang sangat manis,” katanya.
Turut hadir pada kunjungan itu ialah Timbalan Presiden Arm Wrestling Sport Club KK, Kennedy Romero Wong.