536,395 Murid, Pelajar di Sabah Kembali Hadir Sesi Bersemuka, Tiga Lagi Sekolah Tangguh Operasi

Read Time:1 Minute, 40 Second

KOTA KINABALU : Sebanyak 1,293 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh Sabah mula dibuka membabitkan seramai 536,395 murid dan pelajar yang kembali mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka bagi penggal 3 sesi 2021/2022 bermula hari ini.

Daripada jumlah itu, seramai 320,912 orang adalah murid sekolah rendah manakala seramai 215,483 orang adalah pelajar sekolah menengah, termasuk dari Kolej Vokasional dan Sekolah Sukan Malaysia (SSM).

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Datuk Dr Mistrine Radin berkata, jumlah itu membabitkan semua sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) manakala bagi institusi pendidikan swasta yang berdaftar dengan KPM adalah seramai 7,149 murid dan pelajar yang hadir ke sekolah mulai hari ini.

Katanya, daripada jumlah keseluruhan sekolah yang dibuka, hanya tiga buah sekolah terpaksa menangguhkan pengoperasian berikutan sekolah masih dilanda banjir selain dalam proses pembersihan yang membabitkan seramai 169 orang murid.

“Antara sekolah yang masih belum dibuka ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Penontomon Pensiangan, SK Pantai Boring Beluran dan Pra sekolah SK Lago Beaufort.

“Murid-murid akan terlibat dengan penangguhan pengoperasian sekolah ini akan mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mulai hari ini sehingga sekolah selamat dan bersih untuk persekolahan bersemuka.

“Berdasarkan statistik JPNS, sebanyak 1,075 buah sekolah rendah membabitkan 320,912 murid akan hadir ke sekolah untuk sesi PdP bersemuka,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Dr Mistrine berkata, seramai 215,483 pelajar sekolah menengah akan turut terlibat dalam sesi PdP bersemuka melibatkan sebanyak 218 buah sekolah yang dibuka.

Katanya, daripada jumlah sekolah menengah yang dibuka, sebanyak 197 buah melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK); SMK Agama (9); Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (M) (2); Sekolah Berasrama Penuh (2); Kolej Vokasional (7) dan SSM (1).

Sementara itu, Mistrine berkata, bagi sekolah rendah swasta, seramai 1,075 adalah murid sekolah rendah manakala seramai 6,074 pelajar sekolah menengah akan mula mengikuti sesi PdP bersemuka bermula hari ini.

Katanya, bilangan sekolah swasta dibawah kelolaan KPM yang beroperasi bermula hari ini adalah sebanyak 38 buah membabitkan seramai 7,149 murid dan pelajar sekolah secara keseluruhan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *