HomeUtama200 Peserta Libatkan 60 Projek Inovasi Sertai SIVIIC

200 Peserta Libatkan 60 Projek Inovasi Sertai SIVIIC

Read Time:1 Minute, 37 Second

KOTA KINABALU : Sebanyak 60 projek inovasi melibatkan seramai 200 peserta menyertai pertandingan inovasi melalui ‘Sabah International Virtual Innovation And Invention Competition (SIVIIC)’ bagi tahun 2021.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan berkata, penganjuran program itu dilihat amat penting pada masa kini yang memerlukan semua bergerak lebih pantas dan maju.

Katanya, hasil inovasi yang signifikan akan memberi impak besar kepada perkembangan dan kemajuan organisasi yang akan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Dalam menangani kesan COVID-19, kerajaan dan perusahaan di banyak bahagian dunia telah meningkatkan pelaburan mereka dalam inovasi.

“Output saintifik, perbelanjaan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), pemfailan harta intelek dan urus niaga modal teroka terus berkembang pada tahun 2021 dan membina prestasi puncak pra-krisis yang kukuh.

“Berdasarkan Indeks Inovasi Global 2021, Malaysia telah mencapai kedudukan ke 36 daripada 129 buah negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian SIVIIC 2021 secara maya disini hari ini.

Yakub berkata, kedudukan Malaysia terus kompetitif berdasarkan kategori negara dalam kumpulan ekonomi berpendapatan sederhana tinggi.

Katanya, Malaysia diiktiraf berada di tangga ketiga selepas China dan Bulgaria, daripada 34 buah negara dalam kategori yang sama.

“Ini membuktikan, rakyat Malaysia terus cekal dan terus bergerak melebihi kapasiti biasa walaupun masih lagi dihambat dengan kesan ekonomi akibat pandemik ini.

“Selaras dengan visi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) iaitu untuk ‘Melahirkan Generasi Intelek dan Inovatif melalui kemajuan Sains, ICT dan Modal Insan berkemahiran tinggi menjelang Tahun 2030’, kementerian akan terus bekerja keras dan bersungguh-sungguh untuk membangunkan masyarakat yang intelek dan inovatif,” katanya.

Dalam pada itu, Yakub turut menyeru semua agensi kerajaan dan swasta, para pemimpin di semua peringkat, para pendidik, para pelajar dan semua anggota masyarakat secara amnya untuk terus berganding bahu dan terlibat dengan apa sahaja aktiviti berasaskan inovasi.

“Saya yakin, penglibatan dan sokongan semua pihak mampu menyelesaikan pelbagai cabaran dan masalah dalam kehidupan harian, seterusnya mampu mengubah senario ekonomi di negeri ini selaras dengan laungan ‘Sabah Maju Jaya’,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular