Kerajaan Laksana Beberapa Inisiatif Perkasa Keselamatan, Pertahanan Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 20 Second

TAWAU : Kerajaan akan melaksanakan beberapa inisiatif baharu bagi memperkasa keselamatan dan pertahanan negeri Sabah.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia termasuklah akan membina satu kem baharu bagi tentera darat yang akan dimulakan pembinaannya pada tahun ini di Felda Sahabat Lahad Datu.

Katanya, perancangan mengenainya telah dimuktamadkan dimana sebanyak lebih RM646 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan pembinaan kem berkenaan.

“Antara tujuan utama pembangunan kem baharu ini adalah untuk memindahkan 1 batalion infantri dan unit-unit 13 Briged sebagai usaha meningkatkan lagi tahap keupayaan dan kesiapsiagaan Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam menangani ancaman semasa sekaligus mengukuhkan lagi tahap keselamatan di Pantai Timur Sabah.

“Selain itu, kerajaan juga akan merancakkan semula dan memperkasakan lagi inisiatif ‘Trilateral Cooperative Arrangement (TCA)’ yang melibatkan kerjasama angkatan tentera Malaysia, Indonesia dan Filipina bagi meningkatkan kawalan keselamatan di Laut Sulu dan Sulawesi.

“Saya telah suarakan hasrat ini kepada rakan sejawat saya di kedua-dua negara berkenaan dan mereka telah menyatakan persetujuan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Markas Angkatan Tugas Bersama (ATB) Tawau disini hari ini.

Hishammuddin berkata, satu pertemuan peringkat Menteri Pertahanan Malaysia, Indonesia dan Filipina akan diadakan pada 27 Januari depan bagi membincangkan perancangan mengenainya.

Katanya, hasrat bagi meningkatkan tahap keselamatan di Laut Sulu dan Sulawesi ini turut disuarakan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dalam pertemuan yang diadakan semalam.

“InsyaAllah, saya akan bawa hasrat beliau semasa pertemuan bersama Menteri Pertahanan dua negara berkenaan 27 Januari ini.

“Dua inisiatif baharu yang saya umumkan hari ini hanya sebahagian. Banyak lagi perancangan khusus untuk keselamatan Sabah yang akan saya umumkan dari masa ke masa,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *