HomeIsu tempatanTaman Buaya Tuaran Bakal Promosi Pelancongan Pendidikan Budaya

Taman Buaya Tuaran Bakal Promosi Pelancongan Pendidikan Budaya

Read Time:1 Minute, 43 Second

KOTA KINABALU: Taman Buaya Tuaran bekerjasama dengan dua organisasi warisan dan kreatif tempatan bagi menawarkan aktiviti pendidikan budaya kepada pengunjung di masa akan datang.

Dalam usaha itu, pihak taman merancang untuk mengubah segmen rumah panjangnya menjadi Momogun Heritage Lab dengan menampilkan pameran kepelbagaian warisan budaya etnik utama di Sabah.

Pihak Muzium Lotud Borneo dan Chanteek Borneo akan menyediakan bahan pameran untuk inisiatif kerjasama itu.

Pengurus Taman Buaya Tuaran, Engalbert Awing berkata, rumah panjang itu digunakan untuk mempamerkan persembahan tarian tradisional kepada pengunjung sebagai aktiviti sampingan, namun ruang tersebut tidak lagi digunakan sejak aktiviti pelancongan ditutup akibat pandemik.

Katanya, Momogun Heritage Lab akan berfungsi sebagai pusat aktiviti mesra keluarga yang menawarkan aktiviti berasaskan budaya yang boleh dinikmati oleh kanak-kanak seperti menganyam dan menenun, antara lain.

Perjanjian kerjasama itu ditandatangani oleh ketiga-tiga pihak terbabit pada Khamis lepas, sambil disaksikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Joniston Bangkuai.

Perjanjian itu ditandatangani oleh pengarah Taman Buaya Tuaran, Chai Wee Ying; pengasas Muzium Lotud Borneo, Pediman Jabau; dan pengasas Chanteek Borneo, Anne Antah.

Sejak aktiviti pelancongan beroperasi semula, Taman Buaya Tuaran merekodkan kira-kira 600 pelawat setiap hari terutama sepanjang musim cuti sekolah. Pengunjung terdiri daripada orang tempatan, pelancong dari Semenanjung, dan golongan ekspatriat.

Sementara itu, Joniston memuji inisiatif dan usaha ketiga-tiga pihak terbabit untuk menggabungkan aktiviti pendidikan yang berkaitan dengan warisan budaya.

“Kita mesti mempromosikan pelancongan pendidikan kerana ia adalah cara terbaik untuk mempelajari sesuatu budaya. Aktiviti pembelajaran secara ‘hands-on’ dapat menambah nilai kepada tarikan yang sedia ada.

“Pihak Lembaga Pelancongan Sabah sentiasa menggalakkan pengusaha pusat pelancongan untuk mempelbagaikan produk mereka bagi memenuhi keperluan semua lapisan pengunjung, termasuk kanak-kanak. Kita harus mengambil kira pelancongan keluarga yang merupakan salah satu pasaran yang semakin berkembang dalam industri pelancongan.

“Oleh itu, terdapat keperluan untuk kita terus membangunkan produk pelancongan yang merapatkan ikatan kekeluargaan dan menggalakkan perkongsian ilmu bagi mencipta memori percutian yang kekal,” katanya.

Tambah Joniston, pelancongan pendidikan juga bermanfaat untuk pelajar yang melakukan aktiviti lawatan sambil belajar untuk mendapatkan perspektif baharu di luar persekitaran bilik darjah.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Teknologi membran selesai masalah pelbagai sektor

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular