Kerajaan Komited Perkukuh Sektor Agromakanan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 57 Second

PUTRAJAYA : Kerajaan amat komited dalam memperkukuhkan sektor agromakanan negara dengan menambah lagi usaha bagi meningkatkan pengeluaran domestik, perluasan adaptasi teknologi moden dan mengurangkan kebergantungan kepada keperluan import.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ia  sekaligus meningkatkan lagi kualiti dan jaminan sekuriti makanan.

Katanya, sekuriti makanan merupakan antara aspek yang diberi perhatian khusus oleh Kerajaan dan ini jelas diperlihatkan menerusi penubuhan Jawatankuasa Kabinet Sekuriti Makanan Negara (FSCC).

“Semenjak penubuhan FSCC ini, pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk merapatkan jurang yang dikenal pasti dalam sistem makanan negara, khususnya bagi memastikan kelangsungan bekalan makanan yang cukup, selamat, bernutrisi dan mampu beli secara berterusan oleh rakyat.

“Penglibatan wakil Kerajaan Negeri dalam Jawatankuasa Eksekutif Sekuriti Makanan Negara serta cadangan penubuhan Jawatankuasa Sekuriti Makanan Negara Peringkat Negeri juga menunjukkan kerjasama yang erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu-isu berkaitan sekuriti makanan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Menteri Pertanian dan Industri Makanan tahun 2022 di disini semalam.

Dr Ronald berkata, Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) yang bertemakan Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan telah digubal oleh Kerajaan dengan memberi tumpuan kepada usaha untuk merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi dan memastikan kemakmuran negara dapat diagih secara lebih adil dan saksama serta mengekalkan kelestarian alam sekitar.

Katanya, sepanjang tempoh pelaksanaan RMKe-12 ini, agenda pemodenan merupakan fokus utama dalam sektor agromakanan negara.

“Dalam hal ini, pihak kementerian wajar memberi tumpuan yang berterusan kepada pemodenan sektor agromakanan bagi meningkatkan produktiviti dan menjamin sekuriti makanan negara.

“Untuk rekod, Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) yang dikeluarkan oleh The Economist Intelligence Unit (EIU) pada tahun 2021 telah menunjukkan Malaysia berada di kedudukan ke-39 dalam kalangan 113 negara seluruh dunia.

“Kedudukan Malaysia dalam kalangan negara-negara Asia Pasifik adalah lapan terbaik manakala kedua terbaik dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara iaitu selepas Singapura,” katanya.

Sementara itu, Dr Ronald berkata, pengukuhan sekuriti makanan negara merupakan proses yang berterusan dan akan terus berusaha untuk meningkatkan kedudukan dalam GFSI seiring dengan hasrat Kerajaan untuk terus memperkasa sektor agromakanan dalam tempoh RMKe-12.

Katanya, antara pencapaian utama MAFI pada tahun 2021 adalah fasa permulaan pelaksanaan  asar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).

“Tahniah kepada seluruh warga kerja MAFI yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam merangka DAN 2.0.

“DAN 2.0 merupakan satu dasar yang menyeluruh bagi memastikan sekuriti makanan negara berdaya saing dan mampan dengan berlandaskan dasar-dasar utama kerajaan iaitu Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Agenda Pembangunan Mampan 2030 dan Rancangan Malaysia Lima Tahun.

“DAN 2.0 telah meletakkan pemodenan dan pertanian pintar sebagai key game changer dan teras dasar utama yang akan diberikan tumpuan bagi menjayakan transformasi sektor agromakanan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Ronald berkata, sumbangan sektor agromakanan kepada KDNK dijangka akan meningkat kepada 5 peratus menjelang tahun 2030 iaitu akhir tahun pelaksanaan DAN 2.0 berbanding 2.3 peratus pada tahun 2020.

Katanya, Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (Pelan Tindakan DSMN) 2021-2025 yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat adalah salah satu strategi yang akan turut mendokong pelaksanaan DAN 2.0.

“Walau bagaimanapun, sebarang perancangan dasar tidak akan berjaya tanpa pelaksanaan yang efektif dan berkesan supaya memberi impak yang lebih besar dalam kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“DAN 2.0 bukan hanya satu dokumen dasar semata-mata, malah ia mesti dijadikan panduan dan rujukan dalam segala usaha dan inisiatif yang diambil oleh MAFI.

“Dalam hal ini, saya yakin MAFI akan melaksanakan kesemua strategi dan inisiatif yang telah digariskan di bawah DAN 2.0 dan Pelan Tindakan DSMN mengikut tempoh pelaksanaan bagi mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *