HomeUtamaEmpat Keluarga Mangsa Kebakaran Terima Sumbangan Yayasan Nur Jauhar

Empat Keluarga Mangsa Kebakaran Terima Sumbangan Yayasan Nur Jauhar

Read Time:1 Minute, 40 Second

PAPAR:   Empat keluarga mangsa kebakaran di Kampung Lakut Jalan Kota Kinabalu – Papar Lama disini menzahirkan rasa terharu apabila diziarahi isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni. 

Selain memberi kata semangat, Toh Puan Norlidah yang juga Penasihat Yayasan Nur Jauhar (YNJ) turut menyampaikan sumbangan kewangan kepada ketua isi rumah yang ditimpa musibah tersebut.

Para penerima terdiri daripada warga emas, Albert Jaikul, 68, serta tiga lagi anaknya, Andy Albert Jaikul, 45, Nur Sharmilah Albert Jaikul Abdullah, 42, dan Nabilah Albert Abdullah, 40, bersama keluarga masing-masing tinggal di kediaman sama.

Mewakili ahli keluarganya, Andy  merakamkan ucapan terima kasih atas bantuan yang diterima dan akan memanfaatkan sumbangan berkenaan dengan sebaik mungkin termasuk untuk keperluan anak-anak yang telah mula bersekolah.

“Dengan bantuan ini sekurang-kurangnya dapat menampung keperluan kami sekeluarga dan ia sangat membantu terutama untuk menyara keperluan anak-anak yang sudah mula bersekolah.

“Bagi pihak keluarga sekali lagi saya mengucapkan terima kasih banyak kepada Toh Puan dan Yayasan Nur Jauhar,”katanya.

Ketika menceritakan detik cemas yang berlaku pada 12 Oktober tahun lalu, Andy berkata, dia hanya sempat menyelamatkan sebuah kenderaan dan seluruh ahli keluarganya.

“Cuaca pada malam itu agak buruk dengan hujan lebat, petir, kilat dan tiupan angin yang kencang.

“Kejadian ini mula disedari oleh bapa saya yang bangun kerana mahu ke tandas tetapi sempat melihat api mula marak di bahagian dapur akibat panahan petir.

“Kemudian, kami semua bangkit dan menyelamatkan seluruh ahli keluarga dengan keluar sehelai sepinggang namun ketika itu hanya satu kunci kereta sempat saya capai dan terus mengalihkan kereta itu.

“Tiupan angin kencang telah membuatkan api semakin marak dan merebak dengan sangat pantas tidak sampai setengah jam, seluruh bahagian rumah kami musnah,” katanya.

Walaupun sedih dengan insiden malang itu, Andy tetap bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat dan banyak pihak yang prihatin tampil memberi sumbangan.

Sementara itu, Setiausaha Sulit Kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri, Datuk Abinan Asli berkata, yayasan berkenaan akan bergerak lebih agresif untuk mendampingi serta mendekati rakyat yang ditimpa musibah.

RELATED ARTICLES
Utama

Cubaan seludup minuman keras bernilai RM450,000, duti, cukai lebih RM1.9 juta...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya