COVID-19: Tiga Kluster Baharu Direkodkan Di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 12 Second

KOTA KINABALU : Sabah merekodkan tiga kluster baharu hari ini melibatkan institusi pendidikan; tempat kerja dan berisiko tinggi seterusnya mencatatkan kes jangkitan COVID-19 di negeri ini melambung tinggi daripada 314 kes kepada 335 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, antara penyumbang utama kes hari ini adalah melibatkan kluster institusi pendidikan iaitu Kluster Jalan Teritipan Kota Marudu yang mencatatkan 38 kes baharu dengan jumlah kumulatif 44 kes.

Katanya, kes indeks bagi kluster ini melibatkan pelajar tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek 2 yang disahkan positif selepas menjalani saringan.

“Saringan dikalangan kontak rapat mendapati 37 orang lagi telah dijangkiti dimana kesemua mereka yang bergejala ringan (Kategori 1 dan 2) telah diasingkan untuk rawatan yg sewajarnya.

“Kluster kedua yang direkodkan adalah melibatkan tempat kerja iaitu Kluster Jalan Binunuk Beaufort dimana kes indeks seorang wanita berusia 34 tahun yang bertugas di RISDA Beaufort telah disahkan positif selepas melakukan saringan,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Masidi berkata, saringan keatas kontak rapat dikalangan rakan sekerja dan ahli keluarga kes indeks mendapati 13 orang lagi telah dijangkiti.

Katanya, jangkitan dipercayai berpunca daripada mesyuarat yang melibatkan jumlah yang ramai dalam satu fasiliti yang sama.

“Bagi kluster ketiga, ianya adalah kluster tempat kerja dan berisiko tinggi di daerah Beaufort dan Kuala Penyu yang mencetuskan Kluster Montenior melibatkan kes indeks petugas kesihatan wanita berusia 37 tahun yang tinggal di Kuala Penyu.

“Kes indeks disahkan positif pada 12 Januari lalu dan saringan yang dibuat seterusnya dikalangan kontak rapat mendapati 24 orang daripada kontak generasi pertama, 17 orang daripada kontak generasi kedua dan dua orang kontak generasi ketiga juga telah dijangkiti.

“Mereka adalah terdiri daripada rakan sekerja indeks kes dan ahli keluarga kakitangan kesihatan.  Semua yang terlibat telah dikuarantin untuk menjalani rawatan,” katanya.

Sementara itu, Masidi berkata, Kota Marudu juga merupakan daerah yang merekodkan kes baharu yang tertinggi di Sabah hari ini dengan 64 kes.

Katanya, selain Kota Marudu, 10 daerah lain mencatat kes baharu dua angka, antaranya Penampang 41 kes (+25), Tuaran 40 kes (+7), Kota Kinabalu 40 kes (-21), Sandakan 34 kes (-34) dan Ranau 22 kes (+15).

“Laporan awal Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) yang sedang melakukan saringan kontak rapat di kalangan penghuni-penghuni asrama sekolah di enam buah sekolah dan institusi pendidikan di Sabah menunjuk ke arah kemungkinan bahawa lebih banyak kluster yang melibatkan institusi pendidikan (sekolah) akan muncul.

“Keputusan dan kesimpulan muktamad akan diketahui dalam tempoh beberapa hari akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata, daripada 335 kes baharu hari ini sebanyak 330 kes adalah dalam kategori 1 dan 2, tiga kes dalam Kategori 3, dan masing-masing satu kes dalam Kategori 4 dan Kategori 5.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *