YaPEIM Terima Sumbangan Laksana ‘Flood Aid For Sabah’

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 21 Second

KOTA KINABALU: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) hari ini menerima sumbangan dana RM50,000 bagi  pelaksanaan Flood Aid for Sabah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, sumbangan dana itu diterima daripada Alliance Islamic Bank Berhad.

Katanya, ia bertujuan bagi membina tangki air bersih di Kampung Garama dan Kampung Kuridak di Beaufort serta pembinaan empat buah bot bagi kegunaan ketika musim banjir oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah.

“Pembinaan tangki air bersih di Kampung Garama dan Kampung Kuridak dapat memberi manfaat jangka panjang kepada hampir 1,000 penduduk di kedua-dua kampung tersebut.

“Lokasi pembinaan tangki air telah dikenalpasti oleh Jawatankuasa Kampung dan telah dipilih berdasarkan kesesuaian lokasi.

“Empat bot yang telah siap dibina tersebut berjumlah RM16,000 adalah untuk kegunaan anggota penyelamat  ketika musim banjir bagi membantu mangsa untuk berpindah ke pusat pemindahan  sementara (PPS),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Serahan Bot Sumbangan kepada JBPM Sabah di sini, hari ini.

Tambahnya, tugas-tugas menyelamat memerlukan kapasiti aset yang besar serta mampu berfungsi dengan baik ketika diperlukan.

“Harapan saya agar lebih banyak sektor korporat dapat menjalinkan kerjasama dengan agensi kerajaan seperti YaPEIM untuk membantu masyarakat yang memerlukan,” katanya.

Menurut Idris, YaPEIM telah mengeluarkan agihan perbelanjaan bagi program sosio-ekonomi dan amal jariah sebanyak RM34 juta dengan 1.3 juta penerima manfaat dari 1 Januari hingga 31 Disember tahun lalu.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM,  Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid, Naib Presiden Kanan Wilayah Timur Alliance Bank Malaysia Berhad, Jeffery Law Hieng Kuok dan Pengarah Bomba Negeri Sabah, Md Ali Ismail.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *