COVID-19 : 10 Buah Sekolah Terlibat Kluster Di Sabah Diarah Tutup Serta Merta

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 28 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Sabah memutuskan untuk melaksanakan penutupan serta-merta 10 buah sekolah yang mencetuskan kluster melibatkan institusi pendidikan di negeri ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, keputusan menutup sekolah itu adalah sebagai langkah bagi membendung penularan COVID-19 dalam kalangan warga sekolah.

Katanya, kerajaan Negeri mengambil maklum bahawa sejak 1 Januari sehingga 26 Januari lalu terdapat sejumlah enam kluster institusi pendidikan aktif dan enam lokaliti di bawah pemantauan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) melibatkan fasiliti pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Ini telah mencetuskan kebimbangan dan menjadi agenda perbincangan di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Sabah pada 26 Januari 2022 yang prihatin dengan laporan tren jangkitan COVID-19 yang berlaku di beberapa buah sekolah di negeri ini.

“Oleh itu tindakan proaktif dan bersifat preventif perlu dilaksanakan dengan segera bagi membendung penularan COVID-19 di institusi pendidikan negeri Sabah dengan lebih luas.

“Justeru, kerajaan negeri memutuskan sekolah yang didapati mempunyai kluster baharu melibatkan kalangan pelajar ditutup berkuatkuasa serta merta dan tempoh penutupan adalah selama dua hingga tiga minggu tertakluk pengesahan JKNS,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Masidi berkata, sesi pembelajaran bagi semua pelajar sekolah yang akan menghadapi peperiksaan utama boleh diteruskan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di kalangan pelajar termasuk guru dan kakitangan insitusi pendidikan berkenaan.

Katanya, sehingga hari ini, terdapat peningkatan kluster melibatkan institusi pendidikan di bawah seliaan KPM menjadikannya 10 kluster aktif berbanding laporan sebelum ini.

Antara sekolah yang diarah tutup kerana diisytiharkan kluster COVID-19 ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambunan; SMK Ranau;  SMK Sandakan; SMK Kundasang;  SMK Tun Fuad Stephen Kiulu; SMK Balung, Tawau; SMK Keningau;. SMK Terusan Lahad Datu ; Sekolah Kebangsaan (SK) Dallas Kota Belud dan SMK Tandek 2, Kota Marudu.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *