COVID-19 : Dua Lagi Kluster Baharu Dilaporkan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 7 Second

KOTA KINABALU : Sabah merekodkan dua lagi kluster baharu COVID-19 hari ini melibatkan tempat kerja dan institusi pendidikan masing-masing dilaporkan di Tuaran dan Kota Belud.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kluster Persiaran Palma yang dilaporkan di Papar tercetus selepas kes indeks berusia 38 tahun mula bergejala pada 22 Januari lalu.

Katanya, kes indeks yang bekerja di Bahagian Pentadbiran Kem PGA Kinarut Papar itu kemudian menjalani saringan kendiri sebelum disahkan positif di Pejabat Kesihatan Papar.

“Saringan terhadap rakan sekerja dan ahli keluarga telah dijalankan dan setakat ini jumlah kumulatif pesakit bagi kluster ini ialah 24 orang termasuk enam kes baharu.

“Punca jangkitan kemungkinan besar berlaku semasa majlis hari jadi salah seorang kakitangan di pejabat pada 17 Januari. Kesemua kes telah diasingkan dan diberi rawatan yang sesuai,” katanya dalam  kenyataan disini hari ini.

Masidi berkata, kluster kedua yang dilaporkan hari ini diisytihar di Kota Belud iaitu Kluster Batu 24 Nabalu melibatkan pelajar-pelajar, guru-guru Sekolah Kebangsaan (SK) Dallas dan ahli keluarga mereka yang tinggal ditempat lain.

Katanya, kes indeks adalah seorang wanita dan ibu saudara salah seorang murid yang dikesan positif melalui saringan RT-PCR sebelum menjalani rawatan.

“Saringan kontak rapat kemudiannya dilakukan dan mendapati tiga pelajar SK Dallas adalah positif.

“Saringan selanjutnya telah dibuat keatas guru-guru dan rakan sekelas pelajar terbabit dan mendapati lebih ramai yang telah dijangkiti, setakat ini 22 orang. Kesemua mereka telah diasingkan dan dirawat sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, Masidi berkata, kes jangkitan COVID-19 di Sabah hari ini terus meningkat dengan pertambahan 16 kes lagi berbanding semalam menjadikan jumlah keseluruhan 358 kes.

Katanya, sebanyak lapan daerah daripada 11 daerah yang mencatatkan kes dua angka merekodkan kes-kes baharu yang agak tinggi iaitu Kota Kinabalu 66 kes, Sandakan 41 kes, Tuaran 39 kes, Penampang 32 kes, Beaufort 27 kes, Tawau 24 kes, Papar 22 kes dan Putatan 20 kes.

“Lapan daerah lagi mencatatkan kes pada satu angka dan tidak ada rekod kes baharu di lapan daerah yang lain.

“Daerah Nabawan menjadi satu-satunya daerah yang berjaya mencapai sifar kes selama 14 hari berturut-turut,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata, peratusan kes baharu yang datang daripada kluster-kluster aktif naik kepada 13.13 peratus atau 47 kes hari ini.

Katanya, angka-angka ini datang daripada kluster-kluster yang aktif dengan dua daripadanya adalah daripada kluster baharu hari ini.

“Sebanyak 353 daripada 358 kes baharu hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2, satu kes dalam Kategori 3, dua kes dalam Kategori 4 dan dua kes dilaporkan dalam Kategori 5,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *