TLDM Rancang Laksana Perolehan Aset Pertahanan Kumpulan Kedua

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 29 Second

KOTA KINABALU : Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam perancangan untuk merealisasikan dan membuat perolehan secara berfasa aset pertahanan bagi menjaga kedaulatan dan keselamatan perairan negara.

Panglima Tentera Laut Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata, perolehan empat Kapal Misi Pesisir (LMS) sebelum ini adalah langkah pertama dan kumpulan kedua juga akan direalisasikan.

Panglima Tentera Laut Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany

“Empat LMS sebelum ini adalah langkah pertama kita dan kita jangkakan LMS bagi kumpulan kedua akan dapat direalisasikan sama ada pada tahun ini ataupun tahun hadapan.

“Kita akan usahakan kearah tersebut namun ia bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Upacara Pentauliahan LMS Kapal Diraja (KD) Rencong di Tambatan Pangkalan TLDM disini hari ini.

Terdahulu ketika berucap, Mohd Reza berkata, kehadiran LMS Rencong diyakini mampu meningkatkan lagi keupayaan Armada TLDM terutamanya dalam memelihaa kepentingan maritim negara.

“Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada warga kapal kerana telah dipilih sebagai kru pertama kapal ini.

“Kejayaan pengoperasian kapal ini terletak di tangan anda semua. Oleh itu, kendalikanlah aset negara ini sebaiknya dengan penuh amanah, tanggungjawab dan professional,” katanya.

LMS RENCONG merupakan kapal terakhir daripada kumpulan pertama perolehan empat buah LMS  yang diperolehi sejajar dengan Program Transformasi TLDM 15to5.

Projek pembinaan kapal ini melibatkan kerjasama di antara kerajaan Malaysia dan China melalui penglibatan firma tempatan iaitu Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd dan China Shipbuilding Offshore International Cooperation Limited.

KD RENCONG telah melaksanakan pelayaran pulang ke Malaysia pada 21 Disember 2021 dan selamat tiba di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK) pada 28 Disember 2021 selepas mengharungi pelayaran sejauh 1811 batu nautika.

Sebagaimana KD Keris, KD Sundang dan KD Badik, KD RENCONG akan diletakkan di bawah operasi dan pentadbiran Panglima Armada Timur bagi menguatkan lagi pengawasan maritim Malaysia terutamanya di perairan Malaysia Timur.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *