KOTA KINABALU : Kouta pemain import Kelab Bola Sepak Sabah FC kini telah lengkap sepenuhnya selepas mereka mengumumkan baki tiga pemain import semalam.
Antara yang diumumkan bagi memperkuat cabaran pasukan itu dalam saingan Liga Malaysia musim ini ialah Jackson de Souza,31, yang juga bekas pemain pertahanan kelab terkemuka di Brazil iaitu Sao Paulo.
Selain itu, Sabah FC turut mendapatkan dua lagi pemain bagi posisi penyerang iaitu Altemir Cordeiro Pessoa Neto,27, juga dari Brazil dan Taiki Kagayama,25 dari Jepun.
De Souza mula bermain secara profesional untuk Sao Paulo dari 2008 hingga 2010 selain sembilan kelab lain di Amerika Selatan hingga tahun lalu.
Pemain itu juga telah membuat 205 kemunculan bersama kelab yang diwakilinya dan berjaya menjaringkan sebanyak 11 gol. Kelab terakhir yang diwakilinya ialah Fortaleza Esporte Clube di Brazil.
Neto pula mula bermain secara profesional bersama kelab Placidi De Castro di Brazil pada 2013 hingga tahun lalu dan menyertai sembilan kelab lain di Amerika Selatan yang menyaksikan 158 penampilan dengan 50 gol manakala kelab terakhir diwakilinya ialah Clube do Remo.
Kagayama pernah beraksi di Eropah iaitu di Finland bersama tiga kelab antara 2019 hingga 2021 dan melakukan 67 penampilan dengan 15 gol manakala kelab terakhir diwakilinya ialah FC Inter Turku.
Pada musim ini, Sabah FC masih mengekalkan dua pemain import iaitu pemain pertahanan Park Tae Soo dari Korea Selatan serta pemain sayap Saddil Ramdani dari Indonesia.
Sementara itu, pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, ketiga-tiga pemain import berkenaan telah menandatangani kontrak beberapa minggu lalu dan kini sedang menjalani kuarantin di Kuala Lumpur.
Katanya, mereka dijangka akan bersama pasukan pada pertengahan minggu hadapan selepas cuti perayaan Tahun Baru Cina.
“Mereka ini dipilih mengikut dengan apa yang saya rasa sesuai untuk pasukan kita dan corak permainan yang saya terapkan. Paling penting kita berbelanja mengikut kapasiti yang kita mampu.
“Saya percaya mereka mampu beraksi dengan begitu baik dan tentu mereka memerlukan masa untuk mengadaptasi dengan banyak perkara.
“Mereka juga harus mendapatkan keserasian terlebih dahulu disamping menilai kecergasan mereka sebelum mereka dapat diturunkan sepenuhnya,” katanya.