COVID-19 : Pelajar Kolej Cetus Kluster Lorong Api-Api

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 32 Second

KOTA KINABALU : Selepas dua hari tidak merekodkan sebarang kluster, Sabah sekali lagi mencatatkan kluster melibatkan institusi pendidikan yang dilaporkan di Kota Kinabalu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kluster Lorong Api-Api itu tercetus selepas kes indeks seorang pelajar berusia 18 tahun didapati positif.

“Pada hari ini satu kluster baharu dilaporkan melibatkan institusi pendidikan melibatkan Almacrest International College diisytiharkan di Kota Kinabalu, yang dikenali sebagai Kluster Lorong Api-Api.

“Kes indeks merupakan seorang pelajar berusia 18 tahun yang tinggal di asrama kolej berkenaan (asrama Api-Api Centre) dan mula bergejala pada 18 Januari lalu seterusnya mendapatkan rawatan pada 21 Januari dan disahkan positif,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Masidi berkata, secara kumulatif, daripada 40 ujian saringan yang dilakukan, seramai 34 pelajar didapati positif.

Katanya, kesemua yang terlibat hanya dalam Kategori 1 dan 2 dan telah dihantar ke pusat kuarantin untuk tujuan pengasingan dan rawatan sewajarnya.

Sementara itu, Masidi berkata, kes jangkitan COVID-19 di Sabah hari ini tidak banyak berubah iaitu hanya merekodkan 367 kes sedikit penyusutan sebanyak enam kes berbanding semalam.

Katanya, daerah Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi dengan 84 kes atau hampir 1/4 daripada jumlah kes Negeri Sabah hari ini.

“Selain daripada kes yang berpunca daripada saringan bergejala dan saringan kontak, jumlah kes yang tinggi di Kota Kinabalu banyak dipengaruhi oleh kes-kes baharu yang berpunca daripada kluster baru yang diisytihar di Kota Kinabalu hari ini.

“Sandakan juga merekodkan angka yang tinggi iaitu 74 kes, juga di Tuaran dengan 50 kes. Secara keseluruhan 10 daerah mencatatkan kes dua angka, 13 daerah mencatatkan kes satu angka dan empat daerah tidak merekodkan sebarang jangkitan baru,” katanya.

Katanya, sejumlah 364 daripada 367 kes di negeri Sabah adalah dalam Kategori 1 dan 2, manakala dua kes dalam Kategori 3, tiada kes dalam Kategori 4 dan satu kes dalam Kategori 5.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *