HomeIsu tempatanEliis Sumbang RM3 Juta Mantap Ilmu Geologi di UMS

Eliis Sumbang RM3 Juta Mantap Ilmu Geologi di UMS

Read Time:1 Minute, 59 Second

KOTA KINABALU: Peneraju bidang analisis pentafsiran subpermukaan dan geosains antarabangsa, Syarikat Eliis menyumbangkan lima lesen perisian akademik (Paleoscan) beserta sokongan teknikal dan latihan penggunaan bernilai RM3 juta bagi memantapkan ilmu geologi di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Penyampaian lesen tersebut disempurnakan Naib Presiden Eliis Rantau Asia Tenggara (SEA), Jusmila Baharom kepada Dekan Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) UMS, Profesor Dr. Jualang @ Azlan Gansau, pada satu majlis di sini, hari ini.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk. ChM. TS. Dr. Taufiq Yap Yun Hin dalam ucapannya berkata, kerjasama UMS-Eliis merupakan satu langkah proaktif dalam tambah nilai dan memantapkan ilmu geologi, penjelajahan petroleum dan permodelan subpermukaan yang akan memberikan manfaat bersama, terutamanya kepada pelajar prasiswazah selain pascasiswazah.

“Menerusi kepakaran dalam bidang pemprosesan data dan kejuruteraan komputer, syarikat yang berpengkalan di Perancis ini berjaya menghasilkan sebuah perisian generasi baharu dikenali sebagai PaleoScan yang kini digunapakai syarikat multinasional yang berasaskan minyak dan gas.

“Selari dengan perkembangan teknologi industri revolusi 4.0 (IR4.0), PaleoScan yang dimiliki oleh Eliis mempunyai kapasiti yang baik untuk menjadi perantara dalam menggabungkan kecerdasan buatan (AI) dengan kepintaran manusia.

“Saya bagi pihak pengurusan universiti amat berbesar hati dan setinggi penghargaan terima kasih kepada Eliis atas kesudian menjadikan UMS rakan strategik dalam perkongsian teknologi juga kerjasama penyelidikan,” kata Taufiq.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin.

Menurut Taufiq, lima lesen PaleoScan dan latihan yang diterima itu secara tidak langsung memberikan manfaat kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP) kursus dalam Program Geologi meliputi Petroleum Geologi, Geofizik, Penilaian formasi, Geologi Struktur dan Geologi Rantau.

“Faedah ini turut memberi manfaat kepada projek penyelidikan pensyarah dan juga pelajar pascasiswazah FSSA khususnya Pensyarah Geologi.

“Sesungguhnya, pengurusan universiti akan sentiasa menyokong usaha murni yang akan dilaksanakan oleh Eliis bersama UMS menerusi FSSA.

“Kita juga mengharapkan menerusi kerjasama ini akan ada ruang dan peluang untuk sebarang kerjasama penyelidikan yang bukan sahaja memberi impak ekonomi tetapi juga impak sosial pada akan datang.

“Semoga perkongsian teknologi industri-universiti terutama menerusi perkongsian teknologi analisis subpermukaan oleh pihak Eliis berupaya memperkasakan aktiviti penyelidikan dan pembangunan bidang geosains bukan sahaja diperingkat akademia malah diperingkat industri eksplorasi minyak dan gas global,” tambahnya.

Pada majlis itu, Raman turut menyaksikan upacara menandatangani Surat Niat (LoI) antara UMS dan Eliis yang masing-masing diwakili oleh Jualang dan Jusmila.

Hadir sama, Penolong Naib Canselor (Strategik) UMS, Prof Madya Dr. Mohd Rahimie Abd Karim.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Petugas Tabung Darah digesa tingkat kemahiran, pengetahuan demi keselamatan pesakit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular