Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Noorliza Awang Alip (tengah) bersama pegawai-pegawai tertinggi DBKK memotong kek sempena Ulang Tahun Ke-22 Bandaraya Kota Kinabalu di perkarangan bangunan DBKK, pada Rabu.

DBKK Komited Memperkasa, Memajukan Pembangunan Bandaraya Kota Kinabalu Melalui Strategi Terancang Dan Inklusif

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 23 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) komited memperkasa dan melakarkan satu perkembangan positif melalui strategi yang terancang dan inklusif dalam memajukan pembangunan Bandaraya Kota Kinabalu.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip berkata, susulan perkara itu, bagi perancangan DBKK 2022, telah mengenal pasti pelbagai potensi tinggi dalam Bandaraya Kota Kinabalu untuk diperkasakan, antaranya hasil janaan idea bersama kumpulan-kumpulan individu dan badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) pada Disember tahun lalu, DBKK telah berjaya mewujudkan “Love KK Network” bertujuan untuk menghidupkan semula kesedaran awam dan rasa cinta kepada Bandaraya Kota Kinabalu.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Noorliza Awang Alip memeriksa Pasukan Kawalan Kehormat DBKK sempena Ulang Tahun Ke-22 Bandaraya Kota Kinabalu di perkarangan bangunan DBKK, pada Rabu.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Noorliza Awang Alip (dua kiri) memeriksa Pasukan Kawalan Kehormat DBKK sempena Ulang Tahun Ke-22 Bandaraya Kota Kinabalu di perkarangan bangunan DBKK, pada Rabu.
Upacara Menaikkan Bendera sempena Ulang Tahun Ke -22 Bandaraya Kota Kinabalu.

“Program “Love KK Network” bakal dilancarkan pada 14 Februari 2022 dan akan bertindak sebagai kompas utama DBKK dalam membuat perancangan usaha pembangunan, pengindahan, penghijauan, pendidikan, kebersihan dan kemajuan Bandaraya Kota Kinabalu melalui lima komponen utama iaitu Clean KK, Vibrant KK, Beautiful KK, Green KK dan Livable KK.

“Bersandarkan pendekatan ‘KK Moving Forward’ dan ‘Citizen Centric’ sebagai perintis budaya kerja, DBKK juga akan meneruskan usaha dalam meningkatkan penglibatan masyarakat melalui rundingan awam, Sesi Town Hall dan Sesi Dialog.

“Pandangan masyarakat dan stakeholders akan didengar, terutama dalam menangani isu kebersihan dan pembangunan. Pada tahun ini, Program Town Hall 2022′ DBKK akan diadakan pada 9 Februari 2022 secara hybrid,” katanya dalam ucapan amanat yang disampaikan selepas merasmikan Upacara Menaikkan Bandera sempena Ulang Tahun Ke-22 Bandaraya Kota Kinabalu di perkarangan bangunan DBKK, pada Rabu.

Dalam pada itu, DBKK akan menyediakan pelbagai acara menarik bagi memeriahkan sambutan Ulang Tahun Ke-22 Bandaraya Kota Kinabalu bermula 31 Januari 2022 hingga 27 Mac 2022.

“Acara yang bakal diadakan adalah untuk semua warga Kota Kinabalu sebagai penghargaan kepada mereka yang memberikan sokongan dan komited dalam menjadikan Kota Kinabalu Sejahtera.

“Selain acara Pelancaran “Love KK Network”, antaranya acara Town Hall DBKK, Cultural Rendevouz in Borneo l, KK Scavenger Hunt, KK City Ride, KK City Half Marathon, Orchids Exhibition dan banyak lagi.

“Manakala acara berbentuk pembangunan komuniti turut akan diadakan seperti Pelancaran Urban Farming ataupun Kebun Komuniti Bandar, Pelancaran Tapak e-Waste, Bicara inovasi, Kajian Lembungan Sungai Darau, Program Ke Arah Keusahawanan Wanita Bersama Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) serta acara yang memupuk semangat berpasukan dalam organisasi iaitu Ekspedisi Mendaki Gunung Tambuyukon,” katanya.

Menurutnya, kesemua acara telahpun ditaklimatkan dan menerima kelulusan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dan semua Jawatankuasa Pelaksana program juga telah ditekankan untuk memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi oleh setiap peserta pada setiap masa.

Noorliza juga turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor atas kepimpinan jitu kepada DBKK.

“DBKK akan terus menyokong strategi dan aspirasi kerajaan serta bersiap siaga untuk mengadaptasikan transformasi dalam memenuhi keperluan masyarakat Bandaraya Kota Kinabalu,” ujarnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *