GRS Boleh Didaftarkan Jika Dipersetujui – Hajiji

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 13 Second

KOTA KINABALU : Pendaftaran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai gabungan politik yang rasmi boleh dilakukan sekiranya perkara itu dipersetujui oleh semua pihak dalam parti komponen gabungan itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, jika dipersetujui, beliau akan berusaha untuk memastikan GRS didaftarkan secara rasmi bagi mengukuhkan lagi hubungan dan perpaduan antara parti komponen.

“Berhubung isu pendaftaran secara rasmi GRS, saya tidak ragu-ragu jika perkara ini dipersetujui oleh semua komponen dalam GRS.

“Jika ini yang diinginkan oleh semua pihak, maka saya akan berusaha untuk memastikan GRS akan didaftarkan secara rasmi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan GRS Back Benchers Club di Kudat Golf and Marina Resort di sini semalam.

Hajiji juga percaya bahawa dengan mendaftarkan GRS sebagai pakatan rasmi ia akan mengukuhkan lagi hubungan dan perpaduan komponennya.

Pada masa ini, GRS adalah satu gabungan longgar antara Perikatan Nasional (BERSATU Sabah, STAR SAPP, PAS dan Gerakan), Barisan Nasional (UMNO, PBRS, MIC dan MCA) dan Parti Bersatu Sabah.

Terdahulu, Hajiji berkata GRS yang terdiri daripada UMNO, STAR, PBS dan BERSATU telah memenangi pilihan raya negeri dan kekuatan tiga gabungan bebas itu menjadikan jumlah keseluruhan 41 daripada 73 kerusi dimenangi sekali gus menumbangkan Warisan Plus (Warisan, Upko dan DAP) yang hanya memenangi 32 kerusi.

Selepas pembentukan kerajaan negeri, GRS memperoleh tambahan enam kerusi melalui enam ADUN yang dilantik dan seterusnya lima ADUN pembangkang menyertai GRS menjadikan jumlah keseluruhan kerusi kini 52.

“Ini bukti rakyat kini lebih yakin dengan Kerajaan Negeri GRS,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *