Kerajaan GRS Berdepan Tugas Berat Diawal Pentadbiran

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 48 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan negeri dibawah kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berdepan tugas berat pada permulaan pentadbirannya berikutan penularan pandemik COVID-19 dan ketidaktentuan politik di peringkat Persekutuan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penguatkuasaan dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menyekat penganjuran acara awam termasuk majlis rasmi kerajaan.

Katanya, Kerajaan GRS yang baru ditubuhkan pada ketika itu turut tidak dapat turun padang untuk bertemu rakyat berikutan pelaksanaan dan penguatkuasaan PKP.

“Di sebalik cabaran yang dihadapi, Kerajaan Negeri GRS terus menjalankan tugas untuk melakar laluan ke arah kemajuan bagi Sabah dan rakyat melalui penggubalan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), yang berteraskan Akujanji GRS (Ikrar) dan manifesto pilihan raya.

“Terdapat lebih 500 inisiatif dalam Hala Tuju SMJ 1.0. Sekretariat itu diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri dan dibantu Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri serta Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan GRS Back Benchers Club di Kudat Golf and Marina Resort di sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin, Pengerusi GRS Back Bencher Club, Datuk Seri Salleh Tun Said; Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Mohd Arifin Mohd Arif; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Datuk Yakub Khan dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Hajiji berkata, menerusi SMJ, Kerajaan Negeri GRS telah pun mencapai beberapa pencapaian penting seperti mendapat bayaran tahunan lima peratus Cukai Jualan Negeri ke atas petroleum daripada PETRONAS dan pindaan Perlembagaan Persekutuan mengenai perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963.

Selain itu katanya, pencapaian lain terus menandatangani Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan PETRONAS, menarik pelabur utama ke Sabah serta pendapatan terbesar sepanjang tahun lalu sebanyak RM5.3 bilion.

 “Jika tabung dan hasil negeri kita terus bertambah baik, insya-Allah kita akan menambah peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) (daripada RM2 juta) kepada RM3 juta,” katanya.

Tambahnya, satu kertas Kabinet juga dijangka dibentangkan oleh Kementerian Kewangan untuk meningkatkan elaun wakil rakyat negeri.

Terdahulu, Hajiji berkata, beliau akan meneliti resolusi daripada pemukiman itu untuk dipertimbangkan.

Mengenai pilihan raya kecil DUN Bugaya, Hajiji berkata perkara berkaitan calon akan dibincangkan dalam kalangan pemimpin GRS untuk mencari penyelesaian secara baik, setelah perintah darurat pada pilihan raya kecil itu ditarik balik.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *