Bekalan Kit Ujian Kendiri COVID-19 Akan Tiba Esok Atau Lusa, Elakkan Pembelian Panik

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 18 Second

KOTA KINABALU: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlalu panik berikutan kurangnya bekalan kit ujian kendiri COVID-19 di seluruh negeri.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, kekurangan bekalan itu disebabkan oleh peningkatan mendadak kes jangkitan COVID-19 khususnya yang melibatkan institusi pendidikan di negeri ini.

“Pada petang ini saya melakukan tinjauan ke beberapa lokasi sekitar Kota Kinabalu khususnya di Farmasi dan kedai runcit yang menjual kit ujian kendiri ini kerana pada tengah hari tadi saya mendapat laporan bahawa di beberapa buah daerah di Sabah sedang mengalami kekurangan bekalan.

“Daripada tinjauan yang saya lakukan, saya ambil maklum bahawa ada beberapa Farmasi kehabisan bekalan.  Namun hasil perbincangan bersama operator Farmasi, mereka yakin bahawa bekalan akan tiba dalam tempoh sehari dua daripada sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan bekalan kit ujian kendiri COVID-19 sekitar bandaraya Kota Kinabalu disini petang tadi.

Hadir sama, Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Georgie Abas.

Shahelmey berkata, orang ramai masih boleh mendapatkan bekalan kit ujian kendiri COVID-19 di kedai serbaneka yang turut menjual barangan berkenaan.

“Bagi yang memerlukan kit ujian ini, orang ramai masih boleh mendapatkan daripada Farmasi yang mempunyai stok atau kedai serbaneka yang sebenarnya turut menjual kit ujian ini.

“Justeru saya harap, tidak akan berlaku pembelian panik kit ujian dikalangan masyarakat berikutan peningkatan kes jangkitan COVID-19 di Sabah,” katanya.

Pada ketika ini, kerajaan menetapkan harga siling kit ujian kendiri COVID-19 adalah pada harga RM19.90 dan terdapat peniaga yang menjual dibawah harga siling yang ditetapkan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *