Belum masanya sempadan negara dibuka – Ismail Sabri 

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 45 Second

TANGKAK: Pembukaan sempadan negara pada 1 Mac seperti disyorkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) baru-baru ini belum boleh dilaksanakan kerana ia memerlukan penelitian lanjut, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, cadangan MPN itu juga masih belum dibincangkan dalam Kabinet, selain perlu dirujuk kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mendapatkan saranan dan nasihat.

Katanya, perkara itu juga bagi memastikan kesediaan negara untuk menerima pengunjung luar, selain keupayaan kerajaan dalam mengatasi COVID-19 dan varian Omicron.

“Itu hanya cadangan MPN, cadangan itu perlu dibincangkan dan mungkin pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) boleh duduk sama dalam perkara ini. Jika perlu perkara itu mendapatkan kelulusan Majlis Keselamatan Negeri (MKN) dan Kabinet kita akan bincang perkara ini.

“Cuma saya mahu maklumkan buat masa sekarang, tiada perbincangan lagi yang dibuat, itu hanya cadangan daripada MPN.

“Buat masa ini, sempadan masih belum sesuai dibuka dengan peningkatan kes COVID-19 di kebanyakan negara termasuk Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Ledang semalam.

Yang turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad.

Pada 8 Februari lalu, MPN bersetuju dengan cadangan supaya Malaysia membuka sepenuhnya sempadan negara tanpa keperluan kuarantin wajib, seawal 1 Mac depan.

Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun menegaskan, pembukaan sempadan kepada semua negara itu perlu dilaksanakan secara terancang dan berdasarkan penilaian risiko semasa.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, keutamaan kerajaan kini adalah untuk mengimbangi isu kesihatan serta keperluan pembukaan semula sempadan negara yang membabitkan pelancongan sebagai industri utama.

Katanya, pembukaan semula sempadan negara ada dalam perancangan kerajaan, tetapi bukan dalam tempoh terdekat berikutan penularan wabak masih berlaku.

“Kita bukan hanya mahu bantu sektor pelancongan, tapi mahu menjaga rakyat negara kita sebab kita tidak mahu pelancong datang membawa jangkitan. Itu lebih bahaya. Biar KKM buat kajian lebih terperinci.

“Walaupun perlu saya katakan yang akhir nanti ia (sempadan negara) perlu dibuka juga, kita akan pertimbangkan (pembukaan sempadan) kerana kita mahu mengimbangi industri pelancongan dengan kesihatan rakyat.

“KKM juga akan melakukan perancangan terperinci dan cadangkan kepada Kabinet, cuma setakat ini sempadan masih ditutup dan belum ada perbincangan pun untuk kita buka sempadan,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *