Kim Swee Mahu Pemain Sabah FC Pamer Prestasi Lebih Baik

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 30 Second

KOTA KINABALU : Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mahu anak buahnya mempamerkan prestasi yang lebih baik pada perlawanan terakhir menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam saingan Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) 2022 malam esok di Stadium Likas.

Katanya, meskipun KDA FC mempunyai kelebihan jumlah jaringan gol namun para pemain Sabah FC perlu memperbaiki lagi rentak permainan berbanding perlawanan pertama dan kedua sebelum ini.

“Kita tahu pasukan KDA FC merupakan pasukan ‘favourite’ dan kalau kita lihat daripada jumlah jaringan gol mereka jauh lebih baik dan lebih bersedia kali ini.

“Namun kita tidak mempunyai cara lain selain memperbaiki lagi rentak permainan berbanding sebelum ini, seperti saya katakan sudah tentu saya ingin melihat satu persembahan yang lebih baik terutama pada perlawanan terakhir ini,” katanya.

Beliau berkata, perlawanan terakhir itu juga dilihat penting untuk memastikan pasukannya lebih bersiap sedia sebelum menghadapi perlawanan pertama Liga Super yang dijangka bermula dalam tempoh dua minggu lagi.

Sementara itu, Kim Swee ketika ditanya mengenai jumlah pemain yang akan diturunkan pada perlawanan terakhir itu, beliau berkata, ia bergantung kepada keadaan kecergasan pemain.

“Saya tidak pasti berapa ramai lagi yang boleh bermain untuk perlawanan esok.  Ini terpulang kepada keadaan kecergasan pemain esok pagi dan tidak kira berapa ramai pemain yang kita ada kurang ataupun banyak kita harus bersiap sedia.

“Semua pemain merupakan pemain yang penting, tidak kira mereka kesebelasan utama ataupun tidak di mana perkara ini mungkin akan berulang pada saingan liga nanti jadi semua pemain harus bersiap sedia jika diturunkan.

“Saya inginkan mereka menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada apa yang mereka tunjukkan sebelum ini,” katanya.

Sabah FC akan bertemu KDA FC pada saingan Piala SMJ 2022 di Stadium Likas esok bermula jam 9 malam.

KDA FC kini berada ditangga pertama dengan kelebihan empat jaringan manakala Sabah FC berada dikedudukan kedua dengan hanya mengutip tiga mata.

end

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *