HomeSukanUsaha Cungkil Bakat Muda Perlu Terus Dipergiat

Usaha Cungkil Bakat Muda Perlu Terus Dipergiat

Read Time:2 Minute, 39 Second

KOTA KINABALU: Usaha bagi mencungkil bakat dan menggalakan golongan muda untuk menceburi sukan bola sepak khususnya di Sabah perlu terus dipergiatkan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, seorang pemain perlu bermula dari usia muda untuk menjadi seorang pemain yang baik.

“Saya mahu melihat penekanan diberikan kepada pembangunan belia dalam sukan, khususnya bola sepak khususnya di negeri ini.

“Sabah FC berada dalam kedudukan terbaik untuk menyediakan platform ini dan memastikan pemain muda kita dilatih oleh jurulatih terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran kit pasukan Sabah FC untuk musim baharu Liga Super di Imago di sini hari ini.

Hajiji yakin Sabah FC akan berjaya di bawah kepimpinan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) bersama pasukan pengurusannya.

“Saya percaya dengan komitmen dan kerja keras, Sabah FC akan dapat bangkit sekali lagi. Teruskan dengan formula yang betul dan taraf bola sepak kita akan melonjak ke tahap yang baharu,” katanya.

Sementara itu, Hajiji turut menyifatkan Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) yang julung kali diadakan di Stadium Likas pada 12 hingga 18 Februari lalu melibatkan Kedah Darul Aman FC, Kelantan TRW, Sarawak United dan pasukan tuan rumah sebagai satu inisiatif yang baik.

Katanya, selain membantu persiapan Sabah FC menghadapi musim baharu, kejohanan itu juga memberi peluang kepada peminat bola sepak tempatan untuk menyaksikan perlawanan berkualiti serta membolehkan pemain meningkatkan kemahiran.

“Sabah FC di bawah kendalian Ketua Jurulatih Datuk Ong Kim Swee akan menampilkan pemain import asing dari Brazil, Jepun, Korea Selatan dan Indonesia dalam kempen mereka pada musim ini,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji turut menggesa para pemain supaya sentiasa mengekalkan komitmen dan profesionalisme yang tinggi sepanjang  bersama pasukan ini.

“Anda mesti mempunyai disiplin yang baik, sentiasa melindungi reputasi pasukan dengan tahap profesionalisme yang tinggi.

“Dengan berbuat demikian, anda bukan sahaja akan menjadi contoh kepada pemain yang lebih muda dan akan datang tetapi meletakkan anda pada kedudukan yang lebih baik (dalam kerjaya anda), ” katanya.

Hajiji turut berkata, Sabah pernah menjadi antara pasukan bola sepak elit negara yang melahirkan begitu ramai bintang seperti Datuk James Wong, Datuk Hasan Sani, Matlan Marjan, Peter Rajah. 

“Justeru, saya ingin melihat Sabah kembali menjadi pasukan hebat yang amat digeruni dan dihormati bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi juga di rantau ini,” katanya.

Pada pelancaran kit pasukan baharu Sabah FC, Hajiji gembira mengetahui bahawa ia telah digabungkan dengan elemen tempatan seperti Linangkit dan kontur Gunung Kinabalu, yang merupakan cara menarik untuk menjana pendapatan melalui penjenamaan pasukan.

Sabah FC telah menamakan jersi perlawanan di tempat sendiri sebagai “My Skin” manakala “Dua Belas” ialah nama jersi tempat lawan mereka, yang ditaja oleh Lotto untuk tahun kedua berturut-turut.

Beliau juga berterima kasih kepada redONE kerana hadir sebagai salah satu penaja utama tahun ini, serta yang lain termasuk Sawit Kinabalu, SabahNet, Al-Ikhsan dan Qhazanah Sabah Berhad.

Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC, Khairul Firdaus Akbar, Pengarah Sabah FC, Dato Dr Jelani Hamdan dan Ketua Jurulatih Datuk Ong Kim Swee.

Turut dalam barisan Sabah FC ialah merupakan empat pemain kebangsaan – Khairul Fahmi, Dominic Tan, Mohd Rizal Mohd Ghazali dan Baddrol Bakhtiar – serta tiga bekas pemain Harimau Malaya,  Amri Yahyah, Irfan Fazail dan Nazirul Naim Che Hashim.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah tuan rumah ATE 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular