COVID-19 : Kes Jangkitan Terhadap Kanak-Kanak Kekal Tinggi

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 15 Second

KOTA KINABALU :  Kanak-kanak dibawah usia 11 tahun yang dijangkiti COVID-19 di Sabah kekal tinggi dilaporkan dengan jumlah seramai 673 orang pada hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, daripada jumlah itu seramai 283 orang terdiri dari kanak-kanak berusia dibawah lima tahun yang belum layak diberi vaksinasi COVID-19.

Katanya, seramai 390 orang lagi adalah mereka yang berusia antara lima hingga 11 tahun yang belum menerima vaksin walaupun sudah layak memperolehinya.

“Kedua kumpulan ini merupakan 12.56 peratus daripada jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Sabah pada hari ini.

“Amatlah disarankan agar ibu-bapa membawa anak-anak mereka yang sudah layak di vaksin untuk memperolehinya bagi mengurangkan risiko jangkitan atau kesan jangkitan yang lebih serius,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Sementara itu, Masidi berkata, kes jangkitan COVID-19 di Sabah hari ini menurun sedikit sebagai 206 kes berbanding semalam menjadikan jumlah kumulatif harian adalah sebanyak 5,359 kes.

Katanya, secara keseluruhan jumlah kes baharu di daerah-daerah di Sabah adalah bercampur- campur dimana ada daerah yang mencatatkan penurunan dan ada yang bertambah kes harian.

“Dengan peratusan jumlah kes jangkitan sporadik (dalam komuniti) yang masih tinggi (hampir 61.4 peratus hari ini), agak mudah untuk meramalkan bahawa jumlah kes harian dalam masa terdekat akan kekal tinggi.

“Kota Kinabalu kekal mencatatkan  jumlah kes harian  tertinggi di Sabah dengan 1,362 kes (-33) diikuti oleh Penampang dengan 583 (-25), Tuaran 494 (+174), Putatan 457 (+269), Papar 293 (-44), Lahad Datu 244 (-154), Tawau 243 (-187), Beaufort 233 (+75), Sandakan 207 (-82), Kota Belud 203 (-13), Keningau 166 (-49), Kota Marudu 150 (-14) dan Ranau 147 (+43),” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata, daerah yang mencatat jumlah kes harian yang tinggi juga sinonim dengan peratusan jangkitan sporadik yang tinggi.

Katanya, peratusan jangkitan sporadik di Kota Kinabalu hampir 62.5 peratus daripada jumlah kes baharu, Penampang 64.1 peratus, Tuaran 56.3 peratus, Putatan 75.5 peratus, Papar 56 peratus, Lahad Datu 62.3 peratus, Tawau 73.6 peratus, Beaufort 68.2 peratus, Sandakan  83 pertaus dan Kota Belud 60.6 peratus.

“Kita boleh simpulkan bahawa jumlah kes harian yang tinggi setiap hari berpunca daripada jangkitan dalam komuniti yang sukar dibendung lantaran tidak diketahui punca dan tempat jangkitan berlaku.

“Cara terbaik untuk mengelak terdedah kepada jangkitan ialah mengelakkan berada dalam kumpulan orang yang ramai seperti tempat-tempat awam yang penuh sesak.

“Patuhi semua prosedur standard operasi (SOP) dan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Katanya, daripada 5,359 jangkitan baharu hari ini, 5,341 pesakit atau 99.66 peratus adalah dalam Kategori satu dan dua, sembilan orang dalam Kategori tiga, empat orang dalam Kategori empat dan lima orang dalam Kategori lima.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *