Tadika Ceria Kadazandusun Kg Tiong Monggis Pelestari Bahasa Dusun Di Dunia

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 46 Second

TAMPARULI: Tadika Ceria Kadazandusun Kampung Tiong Monggis menjadi sebahagian daripada sejarah pelestarian bahasa Dusun di dunia.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, guru-guru dan pelajar sekolah, merupakan sebahagian daripada sejarah dalam usaha mengangkat martabat bahasa Dusun di dunia.

“Sejak ditubuhkan, Tadika Ceria Kadazan Dusun ini telah mencatat sejarah sebagai satu-satunya tadika yang memberi pembelajaran asas dalam bahasa Dusun di dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Dan Hadiah Tadika Ceria Kadazan Dusun Kampung Tiong Monggis, disini kelmarin.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tiong Monggis, Jaimon Gugiak, wakil Ketua Kampung Tiong Monggis, WKK Johanes Tinggi, dan Ketua Kampung Rani, KK Lutter Gambar.

Katanya, kejayaan bekas pelajar tadika sekolah itu di peringkat pengajian tinggi juga membuktikan kualiti pembelajaran asas di sekolah berkenaan setanding dengan sekolah lain.

Beliau yang juga Wakil Rakyat Tamparuli, memberitahu, jika tidak ada aral melintang, daerah kedua yang akan mengikuti jejak langkah sekolah tersebut ialah Kota Marudu.

“Tujuannya juga satu, iaitu untuk melestarikan bahasa ibunda kita agar tidak hilang ditelan zaman.

Jahid turut mengesyorkan kepada pihak tadika terutamanya bekas pelajarnya untuk menubuhkan persatuan bekas pelajar atau Alumni sekolah itu nanti.

“Kita mengharapkan agar usaha-usaha murni melestarikan bahasa dan budaya Kadazandusun ini akan diteruskan sampai bila-bila,” katanya yang juga Pengerusi Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Tamparuli dan Naib Presiden KDCA Pusat.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru kepada semua yang hadir untuk terus menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Terdahulu, Guru Besar sekolah, Chrisnelia Asing, berkata, walaupun program itu terpaksa diadakan dalam keadaan SOP yang ketat, namun beliau bersyukur atas kehadiran menteri dan semua ibu bapa yang terlibat.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibubapa Dan Guru (PIBG) sekolah, Yenika Langguyu, berharap agar kepimpinan PIBG pada masa akan datang akan dapat meneruskan kemajuan di sekolah tersebut.

“Mari kita sama-sama promosikan Tadika Ceria Kadazan Dusun ini, agar lebih ramai ibu bapa yang berminat menghantar anak-anak ke sini nanti,” katanya.

Dua wakil pelajar sekolah, Alvin Elddy Ignatius dan Olga Ianello Juining, turut merakamkan ucapan terima kasih atas segala tunjuk ajar yang diberi oleh guru-guru dan ibu bapa mereka.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *