Sabah FC Sedia Hadapi Saingan Liga Super, Sasar Kedudukan Lima Teratas

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 39 Second

KOTA KINABALU : Sabah FC kini telah bersedia hampir 80 peratus bagi menghadapi saingan Liga Super 2022 selain akan mempamerkan aksi cemerlang pada musim ini.

Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee berkata, beliau mempunyai hampir dua minggu lagi untuk mempersiapkan pasukannya sebelum beraksi dalam perlawanan pertama menentang Negeri Sembilan FC.

“Selepas mengharungi tiga perlawanan pada kejohanan Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) 2022 yang berakhir semalam, saya tidak dapat kesebelasan yang terbaik saya, mungkin sebab kecederaan mahupun masalah tertentu.

“Namun saya percaya, dua minggu akan datang keserasian pemain akan bertambah baik.  Daripada perlawanan yang lalu, kita telah menunjukkan satu disiplin yang cukup baik ketika bermain dengan Kedah, meskipun tanpa pemain utama kita mamapu mendapatkan keputusan terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Kit Pasukan Sabah FC untuk musim baharu Liga Super, yang diadakan di Imago, disini hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Kim Swee berkata, beliau tetap kekal dengan objektif asal untuk mensasarkan kedudukan lima teratas dalam Liga Super musim ini.

“Seperti saya katakan awal dahulu, objektif ataupun sasaran kita adalah untuk mendapatkan lima tempat teraras tetapi bagi setiap pemain, jurulatih dan pegawai terlibat, sudah tentu inginkan lebih lagi.

“Saya juga berharap kita mampu untuk mencapai lebih daripada apa yang kita inginkan, namun ianya tidak boleh terburu-buru.

“Jika dari satu perlawanan ke satu perlawanan kita mampu mencapai kejayaan, saya percaya kita mempunyai peluang yang baik untuk mencipta sejarah mahupun melakar satu lagi kejayaan untuk pasukan Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Kim Swee turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor atas kesudian melancarkan Kit Pasukan Sabah FC selain turut memberi amanat kepada para pemain dan pegawai pasukan.

“Kehadiran Ketua Menteri pada hari ini pasti akan memberi motivasi pada semua yang terlibat dalam Sabah FC untuk kita melakar sesuatu pad atahun ini.

“Amanat yang diberi terutamanya dengan menunjukkan semangat juang yang cukup tinggi, pasti akan memberi satu keyakinan pada kita untuk mengharungi musim liga yang baru,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *