HomeUtamaUdang kering, ikan bilis Sabah 'terbang' ke UAE

Udang kering, ikan bilis Sabah ‘terbang’ ke UAE

Read Time:1 Minute, 37 Second

BERNAMA

DUBAI, — Pendapatan pengusaha ikan bilis serta udang kering di Sabah khususnya di Sandakan dan Tawau dijangka bertambah apabila kedua-dua hasil laut itu bakal menembusi pasaran Timur Tengah bermula dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan ini. 

Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) Datuk Sylvester Entri Muran berkata perkembangan itu susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara pihaknya dengan Urbanex Gulf Corporate Services yang berpangkalan di sini, selaku syarikat pengurusan eksport (EMC). 

Beliau berkata hasil laut dari Malaysia itu mendapat permintaan memberangsangkan di sini berdasarkan sampel diberikan kepada peniaga walaupun harga yang ditawarkan agak tinggi sedikit jika dibandingkan dengan tawaran daripada negara jiran iaitu Thailand dan Indonesia. 

“Ikan bilis dan udang kering dari Malaysia di sini dapat permintaan tinggi. Peniaga gembira dengan sampel kita walaupun harga tinggi tapi mereka puas hati kerana kualiti hasil kita dan sebab itu mereka tawarkan (untuk eksport) kepada Nafas,” katanya kepada media Malaysia di sini hari ini. 

Entri berkata sebagai permulaan, sebanyak 25 tan ikan bilis dan udang kering akan dieksport ke sini bulan ini dengan anggaran jualan US$40 sekilogram dan pihak Nafas kini dalam proses penyediaan dokumentasi. 

Beliau berkata menerusi MoU itu juga Nafas akan mengeksport halia dan kunyit ke UAE dengan menjadikan Dubai sebagai pintu masuk sebelum memperluaskannya ke pasaran Timur Tengah serta Afrika Utara. 

Sebanyak 50 tan halia dan kunyit dijangka mula dieksport bulan depan dan pihak Nafas kini sedang mengumpulkan tanaman itu daripada hampir sejuta ahli di seluruh negara, katanya. 

“Setakat ini Nafas belum masuk pasaran Timur Tengah dan MoU ini sangat penting kepada kami untuk memperluaskan pasaran dan tentunya akan membantu ahli-ahli yang lain,” katanya. 

Nafas merupakan antara organisasi yang menyertai Minggu Pertanian Lestari di Expo 2020 Dubai yang bermula semalam sehingga Jumaat ini. 

Minggu Pertanian Lestari di Pavilion Malaysia dihoskan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dengan Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) sebagai agensi pelaksana. 

RELATED ARTICLES
Utama

Cubaan Potong Berakhir Tragedi: Isteri Pemandu Maut di Lokasi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular