Bidang Kesukarelawan Nadi Pembangunan Masyarakat Prihatin

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 24 Second

RANAU: Bidang kesukarelawan merupakan nadi kepada pembangunan masyarakat prihatin yang mampu menjadi tunjang pembangunan khidmat kepada masyarakat.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, ia dapat dilihat menerusi aktiviti yang dilaksanakan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) yangs sentiasa komited melaksanakan aktiviti kesukarelawan.

“Badan sukarela seperti BSMM telah membuktikan bahawa ahlinya berfungsi sebagai sebuah badan yang sentiasa komited membantu kerajaan dalam usaha menjalankan kerja-kerja amal kepada masyarakat.

“Justeru, matlamat menjadikan BSMM di negeri ini sebagai satu entiti sukarela yang dikenali bukanlah kerja yang mudah, sebaliknya memerlukan komitmen dan semangat yang tinggi dari semua warga BSMM,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Kursus ‘Emergency Water, Sanitation & Hygiene Promotion Zon Borneo’  disini kelmarin.

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Flovia Ng.

Shahelmey berkata, penglibatan sukarelawan sering dilihat sebagai wira tak didendangnamun beliau pasti sukarelawan BSMM Sabah sentiasa bersedia menyumbang khidmat bersama-sama dengan agensi lain terutama ketika bencana dan kecemasan.

Katanya, penganjuran kursus berkaitan Air, Sanitasi dan Promosi Kebersihan (eWASH) selama enam hari itu disifatkan wajar dan asas persediaan kepada ahli-ahlinya bagi memenuhi tanggungjawab sosial kepada masyarakat terutama dalam konteks persediaan dalam pengurusan bencana.

Program dengan kerjasama Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabut Merah (IFRC) Asia Pasifik tersebut julung kali diadakan dan bertujuan menyediakan ‘National Disasater Respons Team’  BSMM bagi zon Borneo serta memfokus kepada pengetahuan membekalkan air bersih terawat, sanitasi dan promosi kebersihan kepada mangsa bencana.

Hadir sama, Pengerusi BSMM Negeri Sabah, Datuk Asnan Yunus Chung; Penolong Pegawai Daerah Ranau, Florencia Padasian; Ketua Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard Ibu Pejabat Polis Ranau, Inspektor Syairul Hasbah serta wakil IFRC Asia Pasifik, Wendy Neoh.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *