COVID-19 : Kes Jangkitan Menurun 16 Kes

Read Time:1 Minute, 14 Second

KOTA KINABALU : Kes jangkitan COVID-19 di Sabah tidak menunjukkan penurunan yang banyak apabila merekodkan sebanyak 2,158 kes dengan penurunan sebanyak 16 kes pada hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, meskipun jumlah kes menurun sedikit namun 17 daripada 27 daerah di Sabah mencatatkan jumlah kes harian yang lebih tinggi daripada semalam.

Katanya, cuma sembilan daerah merekodkan penurunan manakala satu lagi daerah kekal sebagaimana catatan kes semalam.

“Kota Kinabalu kekal sebagai penyumbang utama kepada jumlah kes harian di Sabah dengan 651 kes (+96), diikuti oleh Tuaran 142 kes (-39), Papar 135 kes (-69), Keningau 130 kes (+25), Beaufort 130 kes (+69), Kota Belud 120 kes (+19), Penampang 111 kes (-141) dan Putatan 100 kes (-123).

“Sebanyak 17 daerah lain mencatatkan kes dua angka manakala Kunak dan Kalabakan masing-masing merekodkan kes satu angka.

“Sejumlah 2,143 atau 99.31 peratus daripada 2,158 kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2, enam kes dalam Kategori 3, enam kes dalan Kategori 4 dan tiga  kes dalam Kategori 5,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Sementara itu, Masidi berkata, PICKids Sabah telah berjaya melaksanakan pemberian vaksin kepada 48,118 kanak-kanak daripada 411,400 kanak-kanak berumur antara lima hingga 11 tahun yang layak divaksin.

Katanya, sebanyak 247 kes hari ini melibatkan kanak-kanak bawah umur 11 tahun yang belum divaksin, dengan 117 daripadanya merupakan kanak-kanak yang belum layak mendapat vaksin (bawah umur 5 tahun).

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.