HomeUtamaSyarikat Penerbangan Dipelawa Jadikan Sabah Sebagai Hab Operasi

Syarikat Penerbangan Dipelawa Jadikan Sabah Sebagai Hab Operasi

Read Time:1 Minute, 47 Second

KOTA KINABALU: Sabah mempelawa syarikat penerbangan untuk menjadikan negeri itu sebagai pangkalan operasi mereka lebih-lebih lagi apabila sempadan negara dijangka buka tidak lama lagi.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Joniston Bangkuai berkata, potensi dan rekod prestasi Sabah harus dijadikan semangat pembakar bagi semua pihak berkepentingan untuk terus bekerjasama bagi mengenal pasti dan merebut peluang baharu untuk menggiatkan semula industri pelancongan antarabangsa.

“Sebelum pandemik Covid-19, Sabah boleh diakses melalui penerbangan terus dari 20 bandar antarabangsa utama dengan lebih 220 penerbangan setiap minggu, terutamanya dari rantau Asia Utara.

“Selain itu, terdapat lebih 400 penerbangan domestik yang menghubungkan 10 destinasi di Malaysia. Memandangkan banyak negara membuka sempadan mereka mulai Mac, kami percaya Malaysia akan turut serta tidak lama lagi.

“Dalam hal ini, saya menjemput semua syarikat penerbangan untuk menjadikan Sabah sebagai hab operasi,” katanya pada majlis makan malam bersama Jawatankuasa Pengendali Syarikat Penerbangan (AOC) yang dianjurkan oleh Lembaga Pelancongan Sabah (STB) di sini, pada Jumaat.

Joniston, yang mempengerusikan STB, menyatakan keyakinan bahawa industri pelancongan antarabangsa akan pulih, walaupun tidak sama seperti sebelum ini.

Tambah beliau, penyertaan dan sokongan syarikat penerbangan adalah penting untuk membantu mempromosikan negeri ini dan mewujudkan semula kerjasama bagi akses baharu ke Sabah.

Sementara itu, Pengerusi AOC, Mohamad Azri Mohammad Rashad berkata, penerbangan Air Asia, Malindo Air, dan MAS bagi laluan Kuala Lumpur-Kota Kinabalu mencatatkan muatan pesawat yang tinggi.

“Sejak beberapa minggu lalu, kebanyakan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu mempunyai 70-80 peratus muatan. Ia adalah angka yang agak tinggi.

“Malah bagi Sabah, terdapat tiga hingga empat penerbangan dalam sehari berbanding Johor Bahru, Alor Setar, Kota Bharu dan Terengganu. Jadi, saya berasa berbesar hati berada di sini, dan pada masa sama, kami mahu terus merangsang ekonomi,” katanya.

Mohamad turut berkata bahawa sempadan negara dijangka dibuka tidak lama lagi, sambil menambah pasukan AOC telah terlibat dalam merancang dan melaksanakan prosedur operasi standard dengan bantuan pihak Malaysia Airports, Tourism Malaysia, dan Kementerian Kesihatan pada 26 Februari lalu.

Ini adalah lawatan kedua pihak AOC ke Sabah, yang pada mulanya dijadualkan pada 2020 tetapi ditangguhkan akibat pandemik.

Turut hadir dalam majlis makan malam itu adalah wakil daripada syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular