Kim Swee Kecewa Sabah FC Gagal Raih Mata Di Laman Sendiri

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 49 Second

KOTA KINABALU : Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee nyata tidak berpuas hati dengan kegagalan anak buahnya untuk memungut tiga mata menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di gelanggang sendiri pada aksi sulung Liga Super 2022 di Stadium Likas malam tadi.

Katanya, meskipun mengawal banyak situasi sepanjang perlawanan namun pemain dilihat gagal untuk memanfaatkan peluang yang ada termasuk gagal menyudahkan sepakan penalti pada minit terakhir separuh masa pertama.

“Kita tidak memanfaatkan peluang yang ada, dimana kita mengawal banyak situasi dan peluang-peluang yang ada kita tidak sempurnakan termasuk sepakan penalti.

“Ini memberi tamparan buat kita apabila pasukan Negeri Sembilan mendapat gol melalui ‘set pieces’ dan sudah tentu ini satu keputusan yang cukup mengecewakan,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan disini malam tadi.

NSFC berjaya mencuri peluang mendapatkan gol pada awal separuh masa kedua menyebabkan Sabah FC ketinggalan 0-1 hingga tamat perlawanan seterusnya gagal mengutip tiga mata di laman sendiri.

Pasukan pelawat berjaya menjaringkan gol tunggal pada minit ke-51 menerusi sepakan Khair Muhammad Jefri Jones yang menerima hantaran daripada sepakan percuma Ahmad Khuzaimi Piee.

Tersentak dengan jaringan itu, Sabah FC kemudian cuba mengatur serangan ke gawang pasukan pelawat namun tidak berjaya disudahkan dengan gol meskipun beberapa kali melakukan percubaan sehingga minit terakhir perlawanan.

Kim Swee berkata. meskipun kecewa dengan keputusan itu namun Sabah FC perlu bersiap sedia untuk menghadapi perlawanan kedua menentang PJ City FC pada 9 Mac ini di Stadium Likas.

“Kita harus bersiap sedia kembali dalam masa tiga atau empat hari sebelum kita bermain dengan PJ City FC,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai prestasi penyerang import dari Brazil, Neto Pessoa, Kim Swee berkata, pemain itu perlu diberi peluang untuk membuktikan kebolehannya menjadi penjaring untuk pasukan Sabah FC.

“Ini baru perlawanan pertama dan sebelum ini dalam kejohanan dan perlawanan persahabatan beliau mampu untuk menjaringkan gol.

“Saya tahu ramai yang kecewa dengan sepakan penalti beliau tetapi bagi saya kita perlu memberi beliau lebih kurang satu atau dua, tiga perlawanan lagi untuk membuktikan.  Saya percaya beliau mampu menjadi penjaring untuk pasukan kita,” katanya.

Ketika aksi malam tadi, Neto bukan saja mendapat peluang melalui tendangan penalti, malah dapat meledakkan gol pada minit ke-24, namun dibatalkan disebabkan beliau berada di kedudukan offside.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *