HomeUtamaArahan bayar pampasan RM62.59 bilion waris Sultan Sulu tidak sah 

Arahan bayar pampasan RM62.59 bilion waris Sultan Sulu tidak sah 

Read Time:4 Minute, 11 Second

KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Arbitrasi Paris, Perancis, untuk Malaysia membayar pampasan AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada pihak mendakwa sebagai waris Sultan Sulu, adalah tidak sah kerana ia tidak berlandaskan undang-undang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata keputusan ditetapkan penimbang tara, Dr Gondoza Stampa itu sudah dibatalkan dan tidak lagi sah dari segi undang-undang.

“Malaysia juga tidak mengiktiraf tuntutan dan prosiding timbang tara itu kerana tidak mengambil bahagian dalam prosiding timbang tara.

“Malaysia sentiasa menegakkan dan tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya sebagai sebuah negara berdaulat, tambahan pula identiti penuntut diragui serta belum disahkan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Hassan (WARISAN-Papar) mengenai arahan pembayaran pampasan berjumlah AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris Sultan Sulu yang diputuskan Mahkamah Arbitrasi Paris, dan sama ada Kerajaan Malaysia melalui Pejabat Peguam Negara sudah menghantar wakil atau melantik peguam di Perancis bagi tujuan bantahan.

https://fb.watch/bFIWB6Aiep/

Pada 28 Februari lalu, agensi berita Sepanyol melaporkan Dr Stampa yang juga penimbang tara Sepanyol, mengarahkan Malaysia membayar pampasan berjumlah AS$14.92 bilion kepada pihak mendakwa sebagai waris Sultan Sulu.

Malah, Malaysia didakwa tidak membayar wang pemisah sejak 2013 dan dikatakan melanggar Perjanjian 1987 yang ditandatangani Sultan Jamal Al-Alam, Baron De Overbeck dan Alfred Dent mewakili syarikat British Utara Borneo 

Mengulas lanjut, Wan Junaidi menjelaskan, kerajaan melalui Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Luar, sudah melantik peguam di Sepanyol serta Perancis untuk menangani segala tuntutan berkenaan.

Malah, beliau mengulangi penegasan bahawa kerajaan tidak berdiam diri, sebaliknya telah mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan kedaulatan negara tidak dicabuli melalui tindakan perundangan di Madrid, Sepanyol, dan Paris itu. 

“Kerajaan sentiasa peka dan bersedia untuk mencabar sebarang tindakan penguatkuasaan keputusan ‘Final Award’ yang tidak sah itu mengikut Konvensyen New York jika penuntut pada bila-bila masa dan di mana jua membuat tuntutan, bagi memastikan kepentingan kerajaan sentiasa terpelihara,” katanya.

Wan Junaidi menjelaskan, tuntutan dikemukakan itu adalah susulan tindakan Kerajaan Malaysia menghentikan serahan wang ihsan berikutan kes pencerobohan Tentera Kesultanan Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah, pada 12 Februari 2013.

Susulan itu, beliau berkata, firma guaman yang mewakili warga Filipina mengaku waris Sultan Sulu, memohon rundingan semula bayaran wang ihsan bawah Perjanjian 1878.

“Mereka memfailkan permohonan Superior Court of Justice di Madrid (Mahkamah Madrid) untuk melantik penimbang tara pada 31 Januari 2018, dan Mahkamah Madrid memutuskan untuk melantik penimbang tara dengan Dr Gonzalo Stampa dilantik pada 22 Mei 2019.

“Pada 30 Julai 2019, satu Notis Timbang Tara diserahkan kepada Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar dengan anggaran tuntutan melebihi AS$32 bilion,” katanya. 

Beliau berkata, kerajaan tidak berdiam diri walaupun tidak mengiktiraf tuntutan itu, sebaliknya mengambil tindakan undang-undang dengan memfailkan kes di Mahkamah Tinggi Sabah.

“Waris Sultan Sulu tidak hadir prosiding itu, dan Mahkamah Tinggi Sabah pada 14 Januari 2020 memutuskan Perjanjian 1878 tidak mengandungi apa-apa peruntukan timbang tara, Malaysia tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya, dan penimbang tara tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyelesaikan perkara yang dibangkitkan.

“Keputusan Mahkamah Tinggi Sabah itu dibawa ke Mahkamah Madrid untuk diiktiraf dan dikuatkuasakan bagi memberhentikan prosiding timbang tara di Sepanyol,” katanya.

Susulan itu, Wan Junaidi berkata, arahan bayaran pampasan yang dikeluarkan penimbang tara pada 25 Mei 2020 telah diketepikan.

Dengan permohonan Malaysia, beliau memaklumkan pada 29 Jun 2021, Mahkamah Madrid membatalkan pelantikan Dr Stampa sebagai penimbang tara dan semua tindakan serta keputusan yang dibuat olehnya terbatal.

“Mahkamah Madrid pada 13 Oktober 2021 memutuskan bahawa ‘Partial Award on Jurisdiction’ yang dikeluarkan oleh Dr Stampa bertarikh 25 Mei 2021 adalah terbatal.

“Namun, penuntut (waris Sultan Sulu) membawa keputusan berkenaan ke Perancis sebelum 13 Oktober 2021 bagi memintas keputusan Mahkamah Madrid itu. 

“Pada 29 September 2021, Mahkamah Perancis, tanpa mengetahui keputusan Mahkamah Madrid yang telah membatalkan pelantikan dan keputusan Dr Stampa, sudah mengeluarkan ‘Exequatur Order’ yang mengiktiraf ‘Partial Award on Jurisdiction’ bertarikh 25 Mei 2020 itu. 

“Berdasarkan Exequatur Order itu, Dr Stampa telah memindahkan tempat timbang tara dari Madrid ke Paris bagi meneruskan prosiding timbang tara berkenaan,” katanya.

Beliau menjelaskan pada 5 November 2021, penuntut memfailkan permohonan Rayuan Perlembagaan ke Mahkamah Perlembagaan di Sepanyol untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Madrid bertarikh 29 Jun 2021.

Sehubungan itu, katanya, Malaysia memfailkan aduan jenayah terhadap Dr Stampa, kepada Peguam Negara Sepanyol pada 14 Disember 2021 sebagai bantahan kepada tindakan penimbang tara terhadap ketidakpatuhan keputusan Mahkamah Tinggi Madrid, ketidakaturan proses, ketidakadilan serta penghinaan kepada kedaulatan undang-undang.

“Kerajaan Malaysia juga telah memfailkan rayuan untuk membatalkan ‘Exequatur Order’ bertarikh 29 September 2021 dan permohonan menggantung pelaksanaan arahan itu.

“Pada 16 Disember 2021, Mahkamah Rayuan Perancis membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia bagi penggantungan ‘Exequatur Order’ yang dikeluarkan pada 29 September 2021.

“Namun, rayuan yang difailkan Malaysia belum diputuskan oleh Mahkamah Rayuan di Paris,” katanya.

Menjawab soalan itu, Wan Junaidi berkata, kerajaan tidak mengiktiraf keputusan timbang tara di Sepanyol dan Perancis berhubung tuntutan berkenaan.

“Kita tidak mengiktiraf keputusan itu dan tidak mengambil bahagian dalam timbang tara berkenaan, namun beberapa tindakan undang-undang sudah diambil,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Pendidikan berlandaskan Al-Quran teras lahir modal insan perkasa bangsa, negara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya