MAFI Ambil Langkah Proaktif Pastikan Sumber Bahan Mentah Pertanian Mencukupi

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 18 Second

KUALA LUMPUR : Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengambil beberapa langkah proaktif bagi memastikan sumber bahan mentah dan input pertanian mencukupi.

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ia berikutan konflik antara Rusia dan Ukraine yang kini masih berterusan selain akan memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan global.

“Antara langkah yang diambil adalah meningkatkan pengeluaran tanaman melalui kaedah penanaman secara moden atau IR4.0, sebagai contoh precision farming, penggunaan dron dan kilang tanaman.

“Selain itu, menggalakkan penggunaan baja alternatif atau organik bagi mengurangkan kebergantungan kepada baja sintetik,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Tuan Che Alias Hamid (Kemaman) pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-14 disini hari ini.

Dr Ronald berkata, MAFI turut menggalakkan penggunaan bahan makanan ternakan tempatan seperti penggunaan isirong kelapa sawit (Palm Kernel Expeller (PKE) selain jagung dan hampas soya.

Katanya, selain itu MAFI turut menggalakkan petani menggunakan kaedah Integrated Pest Management (IPM) bagi mengurangkan penggunaan racun kimia selain mengenal pasti beberapa negara sumber alternatif yang baharu bagi menampung kekurangan bekalan import bahan mentah dan input pertanian.

“Pihak kementerian turut menyediakan akses fasiliti pembiayaan yang mencukupi kepada semua pengusaha yang terjejas akibat kos pengeluaran yang meningkat melalui Agrobank,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Ronald berkata, bagi menangani isu kenaikan harga makanan berikutan daripada konflik ini, MAFI akan terus bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi mengoptimumkan platform strategik sedia ada.

“MAFI yakin inisiatif-inisiatif ini akan menyumbang dalam memastikan kelangsungan bekalan bahan mentah dan input pertanian selain menjamin ketersediaan dan kebolehcapaian makanan yang bertepatan dengan kuasa beli rakyat,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *