COVID-19 : Sabah Terus Catat Trend Penurunan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 14 Second

KOTA KINABALU : Kes jangkitan COVID-19 di Sabah meneruskan trend penurunan dengan catatan angka sebanyak 591 kes iaitu penurunan sebanyak 31 kes berbanding semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, nisbah daerah yang mencatatkan penurunan dan peningkatan kes agak seimbang pada hari ini.

Katanya, sebanyak 13 daerah mencatatkan peningkatan kes dan 11 daerah mencatatkan penurunan kes.

“Hanya daerah Beaufort yang merekodkan penurunan kes baharu yang agar besar iaitu 30 kes setelah mencatatkan peningkatan 27 kes sebelumnya.

“Tiga lagi daerah kekal sebagaimana catatan semalam manakala peratusan jangkitan sporadik masih tinggi iaitu hampir 63 peratus  daripada jumlah keseluruhan kes harian,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Masidi berkata, Kota Kinabalu kekal sebagai satu-satunya daerah yang mencatat kes baharu tiga angka dengan 174 kes, tetapi kurang 18 kes berbanding jumlah semalam.

Katanya, sebanyak 16 daerah mencatatkan kes dua angka dan lapan daerah lagi mencatatkan kes satu angka sahaja.

“Daerah Tambunan dan Tongod tidak mencatat sebarang kes baharu sepanjang 24 jam yang lalu.

“Sebanyak 582 atau 98.47 peratus daripada 591 kes-kes baharu hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2, tiga kes dalam Kategori 3, empat kes dalam Kategori 4 dan dua kes dalam Kategori 5,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata, tiga kluster diisytiharkan tamat oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) pada hari ini iaitu Kluster Jalan Bypass Kologon (Ranau), Kluster Simpangan (Beluran) dan Kluster Bukit Garam (Kinabatangan).

Katanya, jumlah kluster yang masih aktif di Sabah ialah 22 kluster.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *