KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri akan terus memperhebat pelaksanaan pelbagai program pembasmian kemiskinan bagi mengurangkan insiden kemiskinan khususnya di kawasan luar bandar.
Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin berkata, ia merangkumi program untuk meningkatkan pendapatan Ketua Isi Rumah (KIR) golongan miskin tegar, Program Keusahawanan Industri Desa dan Mini Estet Sejahtera (MESEJ) serta Program Latihan dan Pembangunan Masyarakat Luar Bandar.
Katanya, Kerajaan Negeri pada masa yang sama akan mempergiat pelaksanaan program Rumah Sejahtera Rakyat Sabah, Program Aktiviti Ekonomi Tambahan, Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif dan Bekalan Air Luar Bandar Alternatif untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat di luar bandar.
“Di samping itu, kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan akan diperkukuhkan lagi untuk melaksanakan projek-projek luar bandar seperti Program Perumahan Rakyat Termiskin, Jalan Luar Bandar, Jalan Perhubungan Desa, Bekalan Elektrik Luar Bandar, Bekalan Air Luar Bandar dan programprogram pembangunan luar bandar yang lain.
“Dalam usaha mencapai miskin tegar sifar pada tahun 2025, Kerajaan Persekutuan melalui Unit Perancang Ekonomi (UPE) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri berhasrat untuk melancarkan Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Fasa 1 Tahun 2022 pada bulan April 2022,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar kerajaan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16 di DUN Sabah disini hari ini.
Tun Juhar berkata, sebanyak 10 buah kampung di negeri Sabah telah dikenal pasti untuk menjadi fokus kepada strategi pembasmian kemiskinan ini
Katanya, kerajaan akan memberi penekanan kepada program atau projek yang dapat memberi impak yang cepat kepada golongan sasar untuk meningkatkan pendapatan sekali gus mengeluarkan mereka dari kepompong kemiskinan.
“Pelaksanaan program dibuat secara holistik melibatkan program bimbingan, pemantauan dan penilaian bagi menjamin keberkesanannya. Program ini boleh dianggap sebagai pelengkap kepada program-program pembasmian kemiskinan sedia ada yang lain.
“Kerajaan Negeri juga pada dasarnya bersetuju untuk menubuhkan Unit Kemiskinan sebagaimana yang ditubuhkan di peringkat Persekutuan, Negeri dan Daerah untuk membantu mempercepatkan usaha membasmi kemiskinan khususnya miskin tegar di negeri Sabah,”katanya.