Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga DUN Sabah Ke-16 Berjalan Lancar, Patuh SOP

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 17 Second

KOTA KINABALU :  Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 semalam berlangsung lancar dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP). 

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang tiba pada jam 9.20 pagi kemudiannya diiringi Speaker, Datuk Kadzim M Yahya menyambut keberangkatan tiba Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Dataran DUN.

Memulakan istiadat, Tun Juhar menerima tabik hormat daripada Ketua Kawalan, Mejar Shamsul Afiq Sulaiman sebelum nyanyian lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku dimainkan oleh Platun Tambor Batalion Ketiga Rejimen Askar Melayu DiRaja. 

Istiadat diteruskan dengan acara memeriksa Kawalan Kehormat Utama (KKU) oleh Tun Juhar terhadap tiga pegawai dan 128 anggota lain-lain pangkat dari Batalion Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Lok Kawi.

Tun Juhar diiringi Hajiji dan Kadzim beredar meninggalkan dataran, selepas lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku dikumandangkan.

Istiadat di dalam dewan persidangan pula dimulakan sebaik loceng dibunyikan pada 9.57 pagi.

Ia disusuli dengan perarakan masuk Bentara Mesyuarat, Mahar Rungkim, Setiausaha, Rafidah Maqbo Rahman, Timbalan-Timbalan Speaker, Datuk Ahmad Abd Rahman dan Datuk George Anthony Ginibun bersama Kadzim diikuti bacaan doa oleh Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar.

Kadzim bersama rombongan keluar semula sejurus selepas beliau menempohkan dewan bagi menyambut ketibaan Tun Juhar.

Selesai perarakan masuk mengikut aturan rasmi, Tun Juhar membacakan Teks Ucapan Dasar Kerajaan Negeri yang diserah oleh Hajiji diikuti bacaan doa oleh Bungsu.

Tun Juhar kemudiannya meninggalkan majlis setelah Kadzim menangguhkan dewan dan semua Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan mengambil bahagian pada sesi  perbahasan selama empat hari mulai Isnin depan. – PENERANGAN

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *