COVID-19 : Sabah Terus Catat Trend Penurunan Dibawah Paras 500 Kes

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 25 Second

KOTA KINABALU : Kes jangkitan COVID-19 di Sabah meneruskan trend penurunan apabila mencatatkan angka jangkitan baharu di bawah paras 500 kes apabila sebanyak 421 kes dilaporkan pada hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jumlah jangkitan itu adalah terendah dibawah paras 500 kes sejak 3 Februari lalu yang menurun 175 kes berbanding semalam.

“Jumlah kes baharu yang lebih rendah hari ini banyak dipengaruhi oleh penyusutan pada skala besar di beberapa daerah seperti Kota Kinabalu (-44 kes), Penampang (-35 kes), Beaufort (-26 kes), Papar (-22 kes) dan Tawau (-17 kes).

“Sebanyak 15 daerah merekodkan penurunan kes harian dan hanya sembilan daerah merekodkan peningkatan kes baharu.

“Namun peningkatan kes di sembilan daerah adalah pada skala yang kecil. Kes baharu di tiga lagi daerah kekal sebagaimana catatan semalam,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Masidi berkata, terdapat tanda-tanda penstabilan di hampir keseluruhan daerah di Sabah dengan 13 daerah mencatatkan kes satu angka sahaja.

Katanya, daripada 11 daerah yang mencatatkan kes dua angka cuma Tuaran (55 kes), Papar (37 kes), Penampang (35 kes), Putatan (27 kes) dan Beaufort (25 kes) yang mencatatkan kes agak tinggi.

“Kota Kinabalu adalah satu-satunya daerah yang masih mencatat kes baharu tiga angka (104 kes) tetapi berkurangan 44 kes berbanding jumlah semalam.

“Lahad Datu dan Nabawan tidak mencatatkan sebarang kes baharu hari ini,” katanya.

Sementara itu, Masidi berkata, sebanyak 412 atau 97.86 peratus daripada 421 kes baharu hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2, dua kes dalam Kategori 3, empat kes dalam Kategori 4 dan tiga kes dalam Kategori 5.

“Satu lagi kluster diisytiharkan tamat hari ini iaitu Kluster Access Menawo di Keningau. Jumlah kluster yang masih aktif ialah 18 kluster,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *