Pengusaha Pelancongan Diseru Tingkat Tahap Keyakinan, Kepercayaan Pelancong Luar

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 18 Second

KOTA KINABALU : Pengusaha industri pelancongan di Sabah diseru untuk terus meningkatkan tahap keyakinan dan kepercayaan pelancong luar terhadap negeri ini sebagai destinasi pelancongan yang selamat.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata, ia selaras dengan pembukaan semula sempadan negara secara serentak dengan peralihan fasa ke endemik bermula 1 April depan.

Katanya, pembukaan sempadan negara itu juga bakal memberi impak yang positif kepada Sabah khususnya kepada sektor pelancongan.

“Industri pelancongan dalam COVID-19 agak mencabar kerana dalam tempoh bagi ini sehingga 2023 merupakan fasa yang kritikal bagi pemulihan industri pelancongan bukan saja di negara ini malah di peringkat global.

“Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO) menjangkakan pelancongan dunia akan kembali seperti keadaan pra-pandemik pada atau selepas tahun 2024,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Jafry berkata, antara perkara-perkara yang perlu ditekankan sepanjang tempoh pemulihan ini adalah termasuk menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pembukaan Semula Sektor Pelancongan Antarabangsa dan diwar-warkan secara meluas menerusi platform digital agar memudahkan pelancong untuk mengakses segala maklumat yang berkaitan.  

Katanya, para pengusaha juga perlu bersedia menukar model perniagaan atau struktur tadbir urus bagi memenuhi permintaan baharu sesuai dengan trend pelancongan semasa.

“Pemain- pemain industri juga disaran untuk terus mempergiatkan promosi serta lebih kreatif dalam memasarkan produk dan lokasi pelancongan Sabah di mata dunia.

“Saya melihat usaha keras pengusaha tempatan mengubah suasana pelancongan negeri termasuk dengan memaksimumkan penggunaan platform digital untuk perkhidmatan dan produk mereka.

“Selain itu, saya juga yakin dan percaya dengan gabungan kerjasama semua pengusaha serta agensi- agensi berkaitan pastinya akan menyemarakkan lagi industri pelancongan Sabah,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *