COVID-19 : Empat Kluster Diisytiharkan Tamat Di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 21 Second

KOTA KINABALU : Empat kluster membabitkan tiga buah daerah di Sabah diisytiharkan tamat pada hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, antara kluster yang ditamatkan ialah Kluster Jalan Pintas Sembulan (Kota Kinabalu), Kluster Sutera 2 (Kota Kinabalu), Kluster Giram (Kunak) dan Kluster Kemburongoh 2 (Ranau).

Katanya, dengan penamatan kluster-kluster tersebut, jumlah kluster yang masih aktif di Sabah ialah 14 kluster.

“Pada hari ini, kes jangkitan COVID-19 di Sabah terus menurun dibawah paras angka 400 dengan 339 kes dilaporkan pada hari ini dan menyusut sebanyak 82 kes berbanding jumlah semalam.

“Buat pertama kali juga sejak 4 Februari tidak ada daerah yang mencatat kes baharu tiga angka,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Masidi berkata, secara keseluruhan, jumlah kes baharu menampakkan trend penstabilan dengan beberapa daerah mencatatkan penurunan kes harian yang agak baik.

Katanya, ini termasuk Kota Kinabalu yang mencatatkan hanya 65 kes (-39), Putatan 8 kes (-19), Tuaran 37 kes (-18), dan Penampang 20 kes (-15).

“Antara daerah yang mencatatkan jumlah jangkitan baharu yang lebih tinggi daripada sebelumnya ialah Lahad Datu 12 kes (+12) dan Ranau 16 kes (+11).

“Sebagai satu peringatan, peratusan jangkitan sporadik susut sedikit hari ini tetapi masih tinggi pada 59.88 peratus,” katanya.

Sementara itu, Masidi berkata, sebanyak 15 daerah mencatatkan kes dua angka, sembilan daerah mencatatkan kes satu angka sementara daerah Semporna, Kunak dan Nabawan, tidak mencatatkan sebarang jangkitan baharu pada hari ini.

“Sebanyak 326 atau 96.16 peratus daripada 339 kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2, dua  kes dalam Kategori 3, tujuh  kes dalam Kategori 4 dan empat kes dalam Kategori 5,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *