LKIM Baikpulih 200 Rumah Nelayan Dibawah PKPN

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 43 Second

BELURAN : Sebanyak 200 buah rumah nelayan di daerah ini telah dan sedang dibaikpulih oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) membabitkan peruntukan sebanyak RM3 juta.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, rumah yang dibaikpulih itu dilaksanakan di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN).

Katanya, LKIM sebelum ini telah membaikpulih sebanyak 152 buah rumah nelayan di kawasan Beluran.

“Pada hari ini saya meninjau rumah nelayan di bawah PKPN di Kampung Keniogan, yang mana ini adalah sebahagian daripada 200 buah rumah nelayan yang telah dan sedang dibaikpulih oleh LKIM di kawasan Beluran.

“Projek PKPN merupakan usaha Kerajaan Persekutuan bagi meningkatkan taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah dengan membaik pulih rumah, membina rumah baharu dan mewujudkan penempatan semula nelayan supaya golongan nelayan menikmati kualiti hidup yang lebih baik dan selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Jelajah Nelayan Beluran dan merasmikan titian nelayan di Kampung Keniogan, Beluran disini hari ini.

Dr Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata, Kerajaan melalui LKIM telah memperuntukkan lebih RM150 juta pada tahun ini bagi menyediakan bantuan dan insentif kepada masyarakat nelayan seluruh negara.

Katanya, ia merangkumi Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN); Subsidi Minyak Diesel dan Petrol, Dana Nelayan, Tabung Bencana dan Kebajikan Nelayan, Projek Tanaman Kotan, Bantuan Projek Ekonomi Kumpulan Nelayan dan Program Food Basket Nelayan.

“Terdapat 582 nelayan aktif di Kawasan berkenaan telah menerima ESHN dengan kadar bayaran RM300 sebulan.

“ESHN ini telah ditingkatkan oleh Kerajaan bermula Januari 2021, di mana daripada kadar RM250 kepada RM300 sebulan yang telah memberi manfaat kepada 35,000 nelayan laut seluruh negara,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Ronald berkata, golongan nelayan merupakan antara barisan hadapan sektor agromakanan yang sangat penting dalam memastikan kelangsungan bekalan makanan negara.

Katanya, Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan LKIM akan terus memastikan kebajikan semua golongan sasar sentiasa terbela serta memastikan kelangsungan dan kelancaran rantaian bekalan makanan.

Dalam majlis yang sama, Dr Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran turut menyampaikan Bantuan Persekolahan kepada 130 orang murid SK Keniogan yang telah disumbangkan oleh Yayasan Nelayan Malaysia (YANEM) dengan peruntukan sebanyak RM6,500.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *