TABS Terima Sijil Perak Program Pembangunan Bola Sepak Akar Umbi

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 18 Second

KOTA KINABALU : Tunas Asas Bola Sepak Sabah (TABS) Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Bandaraya Kota Kinabalu menerima sijil perak dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai pengiktirafan menjayakan program pembangunan bola sepak akar umbi di negeri ini.

Ketua Program Akar Umbi (Head of Grassroots) FAM, Cameron Ng menyerahkan sijil tersebut kepada Timbalan Pengerusi TABS SAFA Bandaraya, Lokman Sunggim di pejabat TABS di sini, hari ini.

Menurut Cameron, pihaknya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pengurusan TABS yang terlibat menjayakan program pembangunan bola sepak akar umbi di negeri ini.

“Sijil ini sebagai pengiktirafan badan bola sepak negara terhadap usaha yang dilakukan TABS dalam menjayakan program pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi,” katanya ketika ditemui selepas upacara penyerahan sijil tersebut.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan TABS selepas ini untuk menganjurkan kejohanan bola sepak superimau di Kota Kinabalu pada Jun ini.

“Dengan kerjasama baik TABS, pihak kami akan memastikan kejohanan superimau dapat diadakan mengikut jadual yang kami rancang,” katanya.

Sementara itu, Lokman berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan perancangan FAM untuk mengadakan kejohanan superimau yang membabitkan pemain-pemain bawah 12 tahun di negeri ini.

Katanya, TABS akan sentiasa memberi kerjasama yang perlu bagi membolehkan kejohanan sedemikian dapat direalisasikan bagi membolehkan pemain di peringkat kanak-kanak di Sabah mendapat pendedahan.

“Kita sangat berterima kasih kepada FAM kerana mempunyai perancangan yang baik untuk pemain-pemain di akar umbi kerana ia satu keperluan untuk mendedahkan mereka dengan kejohanan di bawah kelolaaan FAM,” tegasnya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha TABS, Amsir Abdullah, Ketua jurulatih TABS, Matasan Ahmad, penolongnya, Roslan Wasli dan sebahagian jurulatih TABS.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *