KOTA KINABALU : Yayasan Bank Rakyat (YBR) memperuntukkan sebanyak RM80,000 untuk disumbangkan kepada 80 orang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terdiri dari kalangan keluarga berpendapatan rendah.
Sumbangan yang diserahkan menerusi Bantuan Awal Pengajian (BAP) itu adalah bagi membantu pelajar membuat persediaan kemasukan sesi pengajian di perinkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda yang baru bermula.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR Datuk Dr Abdul Rahman Bakri berkata, bantuan yang disalurkan itu juga akan dapat mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung ibu bapa dan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sebelum mendapatkan mana-mana bantuan dana dalam meneruskan pengajian sedia ada.
Katanya, pihaknya juga berharap agar lebih ramai agensi atau badan bukan kerajaan tampil untuk mengikut jejak langkah YBR dalam membantu memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan khususnya masyarakat luar bandar.
Menurutnya, menerusi bantuan itu juga akan dapat meringankan beban ibu bapa yang terkesan akibat pandemik COVID-19 yang telah melanda di seluruh negara.
“Ini juga akan dapat memberi rasa keterujaan pelajar untuk membuat persiapan untuk memasuki pengajian di peringkat IPT.
“Diharap bantuan ini akan dapat melahirkan pelajar yang komited, berkualiti, mampan, bercirikan keusahawanan, serta mampu berdaya saing di semua peringkat yang menjadi asas kepada kemakmuran dan kesejahteraan negara untuk jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian replica cek bantuan pengajian yang diserahkan kepada Naib Cancelor UMS Datuk ChM Dr Taufiq Yap Yun Him dan turut disaksikan Ahli Lembaga Pengarah UMS Datin Nurlaila Said.
Terdahulu, Naib Cancelor UMS Datuk ChM Dr Taufiq Yap Yun Him berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan inisiatif YBR yang yang menyalurkan sumbangan kepada pelajar memerlukan.
Katanya, dengan usaha itu diharap akan dapat menyuntik semangat para pelajar UMS yang terpilih untuk terus berusaha dan mencapai kecemerlangan dalam akademik.
“UMS juga turut menyediakan pelbagai jenis bantuan kepada para pelajar seperti Bantuan Sara Diri (MyCare).
“Bantuan yang disediakan ini sudah pasti bertujuan untuk memastikan para pelajar dapat melalui proses pembelajaran dengan lebih kondusif di samping membantu mengurangkan bebanan kewangan yang dihadapi.
“Justeru, para pelajar seharusnya menghargai usaha ini dan tidak mensia-siakan setiap peluang yang telah diberikan,” katanya.
Sehingga kini, seramai 3,277 pelajar telah menerima manfaat melalui BAP YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.2 juta sejak dari tahun 2017 dan bagi tahun 2022, sejumlah RM1.0 juta diperuntukan bagi bantuan ini.