KPDNHEP Sandakan Rampas 19,920 Kg Minyak Masak Bersubsidi

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 3 Second

SANDAKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Sandakan merampas 19,920 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi menerusi satu serbuan pada 19 Mac lalu.

Serbuan yang dilakukan sepasukan penguatkuasa KPDNHEP Sandakan disebuah premis di Jalan Lintas Sibuga Sandakan itu adalah hasil risikan selepas mendapati berlakunya penyelewengan barang kawalan berjadual minyak masak paket 1 kilogram bersubsidi.

Ketua Cawangan KPDNHEP Sandakan Azdy Zukkry John berkata, premis berkenaan didapati melakukan aktiviti memotong sejumlah paket minyak masak bersubsidi di dalam kotak yang kemudiannya dimasukkan ke dalam lori tangki.

Ketua Cawangan KPDNHEP Sandakan Azdy Zukkry John

Katanya, hasil serbuan mendapati  sebanyak 19,920 kg (kg) minyak masak bersubsidi telah ditemui di dalam stor premis berkenaan.

“Siasatan awal mendapati punca bekalan disyaki diperolehi daripada beberapa buah kilang pembungkusan minyak masak bersubsidi di sekitar daerah Sandakan.

“Pasukan serbuan juga turut menyita sebuah lori jenama Nissan dengan had muatan 10 tan daripada  seorang lelaki warganegara tempatan berumur 38 tahun yang mengaku sebagai orang yang bertanggungjawab ke atas barang kes dan stor tersebut,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Azdy berkata, anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk lori yang disita adalah sebanyak RM 106,322.50.

Katanya, kes ini akan disiasat di bawah Akta Kawalan  Bekalan 1961 atas kesalahan memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah selain daripada kegagalan menyenggara buku stok minyak masak terbabit.

“Justeru itu, KPDNHEP Sandakan memberi peringatan kepada semua pemborong dan pembekal barang kawalan bersubsidi agar tidak terlibat di dalam aktiviti penyelewengan barangan kawalan  bersubsidi.

“Pihak kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas untuk mendakwa kes di mahkamah dan akan mengesyorkan agar  kouta minyak masak bersubsidi pihak yang terlibat ditarik balik,” katanya

Azdy berkata, sekiranya disabitkan kesalahan, denda maksimum boleh dikenakan dengan nilai tidak melebihi RM 1 juta  atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan,bagi kesalahan kali kedua atau kemudiannya denda tidak melebihi RM 3 juta  atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi  lima  tahun atau kedua-duanya.

“Denda ke atas Syarikat adalah sebanyak RM 2 juta  bagi kesalahan pertama dan kesalahan kali  ke dua adalah sebanyak RM 5 juta,” katanya.

Dalam pada itu, Azdy berkata, KPDNHEP Sandakan telah melaksanakan sebanyak 1,322 pemeriksaan premis dan menghasilkan 23 kes melibatkan jumlah rampasan sebanyak RM 838,204.10 atas pelbagai kesalahan di bawah akta yang dikuatkuasakan oleh KPDNHEP sepanjang tempoh 1 Januari sehingga 20 Mac lalu.

Katanya, sebanyak 23 aduan orang awam telah diterima dan berjaya diselesaikan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *