DUN Sabah: Kementerian Pelancongan Sabah Akan Bincang Keperluan VTL Dengan Negara Belum Buka Pintu Sempadan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 54 Second

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri akan membincangkan keperluan mewujudkan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) ke Sabah dengan negara serantau yang masih belum membuka sempadan mereka.

Pembantu Menteri Datuk Joniston Bangkuai berkata, VTL adalah rangsangan yang diperlukan untuk menyumbang kepada ekonomi negeri sambil menekankan bahawa pihak kementerian dan pemain industri sudah bersedia untuk mengalu-alukan kedatangan pelancong antarabangsa.

“Pihak Kementerian sentiasa mengadakan libat urus dalam perkara ini dan pihak Kementerian telah mengemukakan cadangan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Negeri Sabah untuk melaksanakan VTL antara Kota Kindabalu dan Singapura.

“Berdasarkan sesi libat urus bersama pemain industri, kita tahu mereka sudah bersedia. Walau bagaimanapun, kita harus mengemukakan cadangan kepada jawatankuasa negeri, yang melibatkan Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan, dan jabatan dan agensi kerajaan lain yang berkaitan, supaya mereka boleh menilai risiko pelaksanaan VTL.

“Kita sudah lakukan demikian tetapi setakat ini belum ada keputusan untuk memulakan VTL untuk Sabah,” katanya semasa sesi soal jawab pada persidangan DUN Sabah, pada Isnin.

Beliau menjawab soalan yang dibangkitkan oleh ADUN dilantik Datuk Seri Yong Teck Lee (SAPP), Phoong Jin Zhe (DAP-Luyang), dan Justin Wong (Sri Tanjong).

Menurut Joniston, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kesihatan, dan Majlis Keselamatan Negara bertanggungjawab terhadap proses pelaksanaan VTL, dengan rakan sejawat di negara lain.

Beliau turut berkata apabila sempadan negara dibuka semula pada 1 April, tidak akan ada keperluan untuk VTL, kecuali negara yang masih menutup pintu sempadan.

“Bagi negara yang belum membuka sempadan, pihak Kementerian akan mengambil langkah untuk berbincang dengan negara terbabit untuk pelaksanaan VTL,” katanya.

Beliau juga menekankan bahawa Kementeriannya sentiasa mengadakan sesi penglibatan berterusan dengan syarikat penerbangan.

Tambahnya, Malaysia Airlines (MAS), Cebu Pacific Air, Scoot, Jeju Air, dan Air Seoul adalah antara syarikat penerbangan yang telah mengambil keputusan tegas untuk memulakan penerbangan terus ke Sabah.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) mengenai keperluan meningkatkan laluan penerbangan domestik dalam negeri, Joniston berkata beliau yakin syarikat penerbangan akan menambah kekerapan penerbangan ke destinasi domestik sekiranya ada permintaan.

Kesalinghubungan antara bandar-bandar dalam Sabah dan juga dengan negeri-negeri lain adalah penting untuk meningkatkan pelancongan domestik, ujar beliau.

Dalam pada itu, Sabah kini sudah mempunyai penerbangan langsung yang menghubungkan Pulau Pinang-Kota Kinabalu, Kuala Terengganu-Kota Kinabalu, Johor Bahru-Kota Kinabalu, dan Kota Bharu-Kota Kinabalu.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *